Keadaan motosikal selepas terbabas dan merempuh lori di Jalan Pending, Kuching, semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dan merempuh sebuah lori di Jalan Pending, Kuching, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.37 tengah hari ketika mangsa dalam perjalanan dari arah lampu isyarat Jalan Pelabuhan menghala ke Jalan Datuk Marican Salleh.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah lori.

“Walau bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Rashdan Rosli di talian 013-6204758 atau 082-259900, atau hadir ke balai polis berdekatan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan demi keselamatan bersama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here