Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR – Kesemua tiga Ketua Cabang Perlis menyatakan sokongan terbuka kepada Nurul Izzah Anwar sekiranya beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam Pemilihan PKR 2025.

Noor Amin Ahmad (Kangar), Manivanan Karuppiah (Arau) dan Datuk Wira Zainol Samah (Padang Besar) menzahirkan sokongan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan secara bersama.

“Setiap calon pasti mempunyai sebab dan asas sokongan tersendiri untuk bertanding. Untuk jawatan Timbalan Presiden, pastilah rekod sumbangan, pengalaman dan kemampuan dari segi pengurusan parti, penggubalan dan pelaksanaan dasar, hubungan dalaman dan luaran parti.

“Oleh kerana itu, kami menyokong sekiranya Puan Nurul Izzah Anwar berminat menawarkan diri menjadi calon Timbalan Presiden KEADILAN dalam pemilihan kali ini. Penyertaan beliau akan memberikan peluang pilihan kepada anggota parti, menghidupkan demokrasi dan sekali gus boleh mengukuhkan parti,” katanya.

Menurutnya, adalah menjadi hak kepada mana-mana anggota parti untuk menawarkan diri menjadi calon bagi mana-mana jawatan yang dihasratkan.

Tambahnya, pada masa yang sama, kurang manis untuk mencadangkan mana-mana calon diberi laluan mudah.

Selain penyandang Datuk Seri Rafizi Ramli, nama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Nurul Izzah kini disebut oleh pelbagai pihak sebagai antara calon yang mungkin bertanding bagi jawatan tersebut.

Setakat ini hanya Rafizi menyatakan secara terbuka untuk bertanding sekali gus mempertahankan jawatan yang disandangnya dalam kenyataan terbaharu semalam.

Manakala Nurul Izzah masih lagi berteka-teki selepas mengeluarkan kenyataan semalam
yang tampil menzahirkan penghargaan.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas sama ada akan menyahut seruan itu atau sebaliknya.

Sementara Saifuddin yang kalah kepada Rafizi dalam merebut jawatan itu pada pemilihan yang lepas masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here