Ketua Pengarah JBPM, Datuk Ts. Nor Hisham Mohammad

KUANTAN – Menerusi pindaan Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini boleh mendakwa kontraktor atau syarikat pembinaan yang melanggar syarat pembinaan bangunan kediaman dan komersial.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, sebelum ini pihaknya tidak mempunyai kuasa pendakwaan secara langsung bagi kesalahan pemasangan dan pembinaan bangunan berkait keselamatan kebakaran.

“Memang dari dulu ada peruntukan untuk kita ambil tindakan terhadap pihak yang melakukan kesalahan dan melanggar syarat pembinaan, tetapi JBPM perlu guna kanun jenayah atau rujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) untuk ambil tindakan.

“Apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Bomba (Pindaan) ini diwartakan, JBPM akan mempunyai kuasa untuk mendakwa sendiri pihak yang terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba (PPB), Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tahun 2024, Sijil Perkhidmatan 30 Tahun dan Sijil Perkhidmatan Terpuji Pegawai Bomba Bantuan (PBB) di Ibu Pejabat JBPM Pahang, di sini hari ini.

Antara penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tahun 2024 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)

Sebagai rekod, RUU melibatkan 42 Seksyen itu telah pun diluluskan di peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan kini hanya menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebelum diwartakan secara rasmi.

Akta 341 digubal bagi memperkasakan JBPM dalam perlindungan nyawa dan harta daripada risiko kebakaran serta kecemasan lain, dan telah dipinda sebanyak tiga kali sejak diperkenalkan pada 1988, dengan kali terakhir pada tahun 2018.

Dalam pada itu, seramai 70 anggota menerima Anugerah Pingat Perkhidmatan Bomba (PPB), 77 menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tahun 2024, 46 menerima Sijil Penghargaan 30 tahun dan 21 menerima Sijil Perkhidmatan Terpuji Pegawai Bomba Bantuan (PBB) dalam majlis yang diadakan hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here