Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Hazrizam Hasin

KUANTAN – Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Hazrizam Hasin daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran menjadi penerima keenam Pingat Bintang Wira Merah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Lebih membanggakan, beliau merupakan penerima pertama dalam kalangan anggota lain-lain pangkat bagi anugerah itu yang disampaikan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ts. Nor Hisham Mohammad hari ini.

Pingat Bintang Wira Merah diberikan kepada pegawai bomba yang diiktiraf Ketua Pengarah yang telah memberi sumbangan yang besar dan signifikan dalam misi kebombaan di peringkat negara dan antarabangsa.

Ketika ditemui, Hazrizam yang berasal dari Maran memberitahu, beliau terlibat dalam ratusan operasi menyelamat di dalam dan luar negara.

“Sebagai contoh ketika operasi membantu mangsa bencana gempa bumi di Turkiye di mana pasukan bomba berada selama 18 hari di sana.

“Saya juga terlibat dalam misi menyelamat mangsa dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali, misi di Pulau Pinang, dan Cameron Highlands selain banyak operasi menyelamat lain di dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba (PPB), Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tahun 2024, Sijil Perkhidmatan 30 Tahun dan Sijil Perkhidmatan Terpuji Pegawai Bomba Bantuan (PBB) di Ibu Pejabat JBPM Pahang, di sini, hari ini.

Bapa kepada empat anak itu memberitahu, pengalaman paling tidak dapat dilupakan sepanjang 20 tahun perkhidmatannya adalah ketika dia dan pasukan menyelamat berjaya mengeluarkan seorang bayi berusia lingkungan setahun bersama bapa bayi itu dari bawah runtuhan bangunan di Gaziantep, Turkiye kira-kira dua tahun lalu.

Lebih menyentuh perasaan, ketika misi menyelamat berkenaan, beliau meninggalkan isteri dan bayi mereka yang baru lahir di tanah air.

“Mangsa ketika itu terperangkap kira-kira tujuh hari di bawah runtuhan bangunan di lokasi tersebut. Mengejutkan kerana mangsa masih hidup walaupun tanpa air dan makanan.

“Jantina kanak-kanak tu saya tak pasti sebab ketika itu dia diselaputi debu. Tapi, kami diberitahu kanak-kanak itu mampu bertahan kerana bapanya memberikan air liur sepanjang masa mereka terperangkap.

“Saya tak boleh lupa juga ketika melakukan operasi dalam cuaca sejuk ekstrem sebab tak pernah lagi melalui pengalaman itu dengan memakai Peralatan Pelindung diri (PPE) yang tak lengkap, tidur dalam khemah sahaja,” katanya lagi.

Justeru, beliau mengucapkan rasa syukur dikurniakan ahli keluarga yang memahami dan sentiasa menyokongnya sehingga berjaya diangkat menerima anugerah tersebut.

Beliau turut meluahkan penghargaan khususnya kepada Ketua Pengarah JBPM dan Komander Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Malaysia, Penguasa Kanan Bomba I, Ismail Abdul Ghani di atas bimbingan yang diberikan kepadanya.

Bukan sahaja penglibatan dalam ratusan operasi menyelamat, Hazrizam memberitahu dia turut aktif menyertai program-program berbentuk kemasyarakatan bersama agensi dan orang awam seperti ekspedisi menawan puncak Gunung Kinabalu baru-baru ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here