PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau akan mempertahankan jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti peringkat pusat 2025.
Perdana Menteri berkata, setakat ini tiada individu yang mencalonkan diri untuk mencabar jawatan yang digalasnya ketika ini.
“Presiden (PKR) masih kosong, saya belum daftar lagi, saya isi (borang) kemudian,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Iman serta menjamu selera bersama rakyat di Restoran Kg Pandan Kari Kepala Ikan Termasyhur, Presint 9, di sini, tengah hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas pencalonan beberapa cabang Keadilan yang menamakan anak perempuannya, Nurul Izzah Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti, hujung bulan ini.
Terdahulu, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) memutuskan untuk menangguhkan proses Pencalonan Pemilihan 2025 peringkat Pusat yang dijadualkan pada 3 dan 4 Mei ini.
Bagaimanapun tarikh baharu bagi Pencalonan Peringkat Pusat berlangsung pada 8 Mei bermula jam 12 pagi hingga 9 Mei pada jam 11.59 malam.
Ahli parti atau penyandang jawatan boleh menawarkan diri menjadi calon Pemilihan Parti Peringkat Pusat dengan mengisi dan melengkapkan borang melalui pautan
https://pencalonanpusat.keadilanrakyat.org. – MalaysiaGazette