KUALA LUMPUR – Dua bekas pekerja kilang pembungkusan makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan melakukan pecah amanah sehingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM2.97 juta.
Kedua-dua tertuduh Koh Kian Hwee, 57, dan Kua Hsean Soon, 34, didakwa melakukan perbuatan itu antara 25 Jun hingga 16 Oktober tahun lalu di Contipak Noron Sdn Bhd, Lot 2, Jalan Usahawan, PKNS Jalan Genting Klang ketika bertugas sebagai pengurus pengeluaran dan pembantu pengeluaran.
Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sekiranya disabit kesalahan, kedua-dua lelaki berkenaan boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 14 tahun selain sebatan dan denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya kes tersebut, Nur Shakila Mohd Sharif memohon supaya mahkamah tidak membenarkan ikat jamin susulan kerugian kes yang mencecah jutaan ringgit.
Namun, peguam mewakili kedua-dua tertuduh iaitu, Carmen Eu Kah Mun merayu supaya mahkamah membenarkan ikat jamin sehingga hukuman ditetapkan.
“Anak guam saya memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dan tidak ada risiko untuk melarikan diri. Jika benar mahkamah mahu menetapkan ikat jamin biarlah jumlahnya munasabah,” katanya.
Selepas mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak, Hakim, Hamidah Mohamed Deril menetapkan ikat jamin sebanyak RM30,000 bagi setiap tertuduh.
Mereka juga diarah menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Sebutan kes ditetapkan pada 11 Jun. – MalaysiaGazette