Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menegaskan keputusan beliau untuk bertanding kerusi Timbalan Presiden adalah demi tanggungjawab dan bukannya kepentingan peribadi.

Anak sulung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menambah, perjuangan PKR bukan milik mana-mana individu tetapi milik kolektif mereka yang masih setia dengan idealisme Reformasi sejak 1998.

“Ada sebahagian – yang menyatakan terus kepada saya – menyambutnya dengan penuh pengharapan, ingin melihat regenerasi dan pembaharuan dalam parti.

“Ada juga yang menzahirkan kegusaran dan meminta saya mempertimbangkan semula keputusan ini kerana bimbang KEADILAN dilabel sebagai “Parti Anak Beranak”.

“Saya hormati kedua-dua pandangan, kerana kedua-duanya datang daripada rasa cinta yang mendalam terhadap parti ini,” katanya di Facebook beliau, hari ini.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap reaksi bercampur yang diterima susulan khabar angin pencalonannya, sama ada yang menyokong mahupun yang menyuarakan kebimbangan.

Mengulas mengenai label “Parti Anak Beranak”, beliau menegaskan bahawa tuduhan itu bukan perkara baharu, malah telah digunakan sejak awal penubuhan parti.

Katanya, bertanding secara terbuka dan mendapat mandat akar umbi bukanlah bentuk nepotisme, malah ia mencerminkan semangat demokrasi dalam PKR.

Nurul Izzah menegaskan bahawa sepanjang kerjaya dalam politik, beliau beberapa kali menolak jawatan yang ditawarkan demi prinsip.

Ini termasuk menolak tawaran untuk menyertai kabinet selepas PRU-14 selain memutuskan untuk meletakkan jawatan dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2018.

“Jika saya memilih untuk kekal bertanding Naib Presiden pun kali ini, saya tetap akan digelar begitu.

“Walau apa jua gelaran dan persepsi yang dilemparkan selama puluhan tahun, saya tetap akan terus berkhidmat, Insya-Allah – kerana yakin bahawa proses bertanding secara terbuka lantas mendapat mandat daripada akar umbi bukanlah satu bentuk nepotisme.

“Sebaliknya, itulah asas demokrasi yang perlu kita pertahankan dalam parti kita ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Nurul Izzah turut berkata sekiranya beliau menang dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR ini, beliau tetap tidak berminat untuk menyertai Kabinet di bawah pentadbiran Anwar.

“Saya yakin, mereka yang membaca kenyataan ini dengan penuh rasional dapat membezakan nepotisme iaitu dilantik oleh ahli keluarga untuk sesuatu posisi berbanding pertandingan yang diundi oleh akar umbi,” jelas bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi.

Nurul Izzah menjadi calon pertama yang selesai menghantar borang pencalonan bagi kerusi Timbalan Presiden pada pemilihan PKR penghujung bulan ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here