KUALA LUMPUR – Tempoh pendaftaran dan mencarumkan pekerja oleh majikan dengan pengecualian kompaun, pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) sempena Bulan Pemutihan dilanjutkan sehingga 31 Mei ini.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pelanjutan itu susulan sambutan menggalakkan daripada majikan serta peningkatan ketara untuk jumlah pendaftaran dan caruman sepanjang pelaksanaan Bulan Pemutihan.
“Sejak pelancaran Bulan Pemutihan tahun ini, peningkatan sebanyak 40 peratus dalam pendaftaran majikan direkodkan berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Sebanyak 8,234 majikan dan 61,746 pekerja baharu berdaftar, termasuk 46,094 pekerja tempatan dan 15,652 pekerja asing, dengan 913 notis FCLB bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) melibatkan 433 majikan baharu berjumlah RM226,980 telah dikecualikan dalam tempon ini.
“Selain itu, bagi majikan baharu berdaftar, yang dikenakan FCLB dan tindakan kompaun dikecualikan sepenuhnya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Mengulas lanjut, Steven mengumumkan penawaran pengurangan sehingga 50 peratus bagi FCLB ke atas majikan sedia ada kecuali yang mempunyai kes tuntutan faedah dan pendakwaan serta Notis Kompaun termasuk kesalahan gagal daftar perusahaan / pekerja dan gagal / lewat melapor kemalangan menerusi agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia iaitu PERKESO.
“Tawaran pengurangan sebanyak 50 peratus ini melibatkan 215,172 majikan yang terlibat dengan tunggakan FCLB Akta 4 dan Akta 800 sebanyak RM100 juta dengan 198 majikan yang masih mempunyai tunggakkan bayaran kompaun di bawah kedua-dua Akta sebanyak
RM990,000.
“Majikan diseru untuk menyelesaikan FCLB dan Notis Kompaun dalam tempoh tawaran berkenaan dan kegagalan mengambil peluang ini akan mengakibatkan tindakan pendakwaan diambil selepas tempoh tawaran pembayaran khas ini berakhir,” tegasnya.
Steven turut memaklumkan, inisiatif pelanjutan tempoh pemutihan ini mengambil kira perayaan Aidilfitri dan cuti Hari Pekerja yang baru berlalu, sekali gus memberi peluang kedua kepada majikan untuk tampil mendaftar secara sukarela.
“Pelanjutan tempoh ini adalah mesej kepada majikan yang belum melaksanakan tanggungjawab mendaftar pekerja mereka untuk segera merebut peluang bagi mengelakan kompaun dikenakan seterusnya berdepan tindakan pendakwaan dan FCLB selepas tempoh ini tamat.
“Majikan yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan kompaun sehingga RM5,000 mengikut kesalahan yang dilakukan dan FCLB juga akan dikenakan ekoran kegagalan membayar caruman dalam tempoh yang ditetapkan serta boleh didakwa di mahkamah dan jika disabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette