GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri yang masih belum melaksanakan larangan terhadap penjualan vape dan rokok elektronik supaya bertindak segera bagi melindungi generasi muda.
Menurut Pegawai Pendidikan CAP merangkap aktivis anti-rokok, NV. Subbarow, kebimbangan semakin memuncak apabila tabiat menghisap vape kini turut melibatkan golongan kanak-kanak seawal usia lapan tahun hingga remaja berumur 16 tahun.
Jelasnya, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menyarankan pengharaman penuh terhadap penggunaan vape dan rokok elektronik.
“Masalah ini bukan terhad kepada negeri tertentu sahaja, tetapi telah menular ke seluruh negara. Kami berharap semua pihak berautoriti segera melaksanakan titah Sultan Pahang demi kesejahteraan generasi masa depan.
“Kita rasa kecewa terhadap beberapa negeri yang belum mengambil langkah serius untuk mengharamkan produk ini, meskipun kesannya terhadap kesihatan dan perkembangan remaja semakin ketara.
“Ada pelajar yang memilih untuk menghisap vape sebaik sahaja bangun pagi dan terus mengabaikan keperluan untuk bersarapan. Bagi mereka, cecair vape itu sudah menjadi ‘pengganti’ sarapan,” katanya.
Beliau memyatakan demikian ketika diminta mengulas video tular sekumpulan pelajar sekolah menghisap rokok elektronik berhampiran surau di sebuah sekolah di Selangor.
Video berdurasi lebih satu minit itu menunjukkan pelajar berseragam sekolah dengan selamba menghisap rokok elektronik, dan pihak sekolah terlibat telah mengesahkan insiden serta mengambil langkah disiplin mengikut garis panduan sedia ada.
Mengulas lanjut Subbarow berkata, meskipun pihak sekolah telah mewujudkan larangan membawa vape ke kawasan sekolah, jelas Subbarow, masih ramai pelajar yang berjaya membawa masuk peranti itu secara tersembunyi.
“Justeru, CAP menyeru agar pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mempertingkatkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap penggunaan vape dalam kalangan pelajar dan penuntut institusi pengajian tinggi.
“Mereka masih di alam persekolahan dan belum pun menamatkan pengajian. Jika perkara ini tidak dikawal dari sekarang, kita bakal berdepan masalah yang lebih besar yang mungkin tidak dapat dikawal lagi,” katanya. – MalaysiaGazette