PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang hari ini mengesahkan beliau akan mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan hujung bulan ini.
Lih Kang berkata, beliau telah pun menghantar borang pencalonan tersebut tengah malam tadi.
“Tengah malam tadi selesai menghantar borang pencalonan dan saya akan mempertahankan jawatan Naib Presiden,” katanya ketika ditanya media samada sudah menghan borang pencalonan bagi jawatan tersebut.
Lih Kang ditemui media selepas selepas merasmikan Projek Pembangunan Stesen Pengisian Hidrogen Mudah Alih (MHRS) di tempat letak kereta Lot 2MB, Presint 2, hari ini.
Mengulas mengenai persaingan yang dijangka sengit bagi jawatan naib presiden, Lih Kang yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyambut baik perkembangan itu dan menyifatkannya sebagai satu petanda positif.
“Ini adalah satu perkembangan yang positif, lebih ramai lebih menarik. Ini menunjukkan ramai yang berminat untuk melibatkan diri dalam kepimpinan parti.
“Saya mengalu-alukan semua yang bertanding. Ini adalah kita meraihkan semangat demokrasi,” tambahnya.
Ketika diminta mengulas mengenai banyak negeri yang menamakan Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden pada pemilihan kali ini, Lih Kang menyifatkan perkembangan itu mencerminkan dasar demokrasi oleh parti tersebut.
“Saya mengalu-alukan semua yang bertanding, kita meraihkan semangat demokrasi,” ujarnya.
Pemilihan PKR yang diadakan pada 23 dan 25 Mei ini di Johor Bahru dijangka menyaksikan saingan hebat bagi beberapa jawatan utama, termasuk Timbalan Presiden dan Naib Presiden, dengan beberapa tokoh berprofil tinggi disebut-sebut bakal bertanding.
Bagi jawatan Naib Presiden, sembilan calon telah mengesahkan pencalonan setakat jam 11 malam tadi bagi perebutan jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti itu yang dijadual berlangsung hujung bulan ini.
Mereka termasuk tiga penyandang jawatan iaitu Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Sains dan Teknologi, Chang Lih Kang serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari yang turut mengumumkan hasrat mempertahan jawatan masih belum mengemuka pencalonan malam tadi.
Turut sudah mengemukakan pencalonan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, R Ramanan; Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan; Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, Senator Abun Sui Anyit dan bekas EXCO Selangor, Hee Loy Sian.
Bagi jawatan presiden dan timbalan presiden, belum ada mana-mana pemimpin mengemukakan pencalonan dengan jangkaan saingan akan berlaku bagi perebutan jawatan nombor dua parti. – MalaysiaGazette