MELAKA – Datuk kepada bayi lelaki berusia dua bulan yang dipercayai didera ibu bapanya Isnin lalu sukar menerima kenyataan kejadian menimpa cucunya itu.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Melaka, Datuk Kalsom Noordin berkata, perkara itu diluahkan sendiri lelaki berusia 50-an ketika ditemuinya di luar Wad Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Melaka petang tadi.
“Selepas melawat bayi lelaki berkenaan, saya berjumpa dengan datuknya di luar wad dan dia meluahkan perasan mengatakan tidak mungkin anak lelakinya sanggup memperlakukan sedemikian (dera) terhadap cucunya itu.
“Saya sekadar mendengar kerana kes pun dalam siasatan polis jadi biarlah proses undang-undang menentukan kerana saya tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Kalsom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu berkata, dia meluangkan masa hampir 30 minit melihat keadaan bayi terbabit.
“Waktu saya sampai pukul 3 petang tadi, dia sedang tidur namun doktor yang merawat memberitahu si kecil ini sangat aktif dan kuat menyusu walaupun mengalami sikit pendarahan dalam kepala.
“Tapi doktor memaklumkan, peluangnya sihat tinggi dan tadi pun saya lihat tiada lagi wayar berselirat di badan kecuali ada satu sahaja di kepalanya,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat dapat menghentikan penularan berita palsu bahawa bayi berkenaan sudah meninggal dunia sebaliknya meminta mereka supaya terus mendoakan kesihatan bayi tersebut.
Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di wad berkenaan mendapati, datuk dan nenek bayi berkenaan sudah pulang ke rumahnya di Beranang, Selangor untuk mengambil pakaian.
Difahamkan, pasangan itu akan kembali semula ke Hospital Melaka malam ini dan menetap di rumah transit disediakan untuk memudahkan nenek bayi berkenaan menjaga cucunya itu di PICU.
Rabu lalu media melaporkan ibu bapa bayi berkenaan direman tujuh hari sehingga 13 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 selepas polis menerima laporan doktor yang mengesyaki bayi berkenaan didera.
Kejadian terbongkar selepas ibu mangsa berusia 22 tahun menghantar anaknya itu ke Hospital Alor Gajah dalam keadaan tidak sedarkan diri kononnya diserang sawan.
Bagaimanapun hasil imbasan CT yang dilakukan doktor pakar mendapati kesan lebam, luka di badan dan leher serta pendarahan lama dan baru dalam kepala bayi terbabit sebelum polis menahan kedua-dua ibu bapanya berusia 22 tahun Selasa lalu. – MalaysiaGazette