KUALA LUMPUR – Dua wanita maut dan empat yang lain cedera dalam nahas membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 34 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, di Kulai, Johor, malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan II (KUP) Mohd Firdaus Juritah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.35 malam tadi.
Kemalangan itu membabitkan sebuah lori kontena, dua kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dan Mazda 5 serta sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
“Terdapat dua wanita menaiki Toyota Estima maut, manakala tiga penumpang lain mengalami kecederaan.
“Tiada mangsa tersepit dan pasukan bertindak memberikan rawatan awal serta kerja penyelamatan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, pemandu lori kontena yang cedera juga dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk menerima rawatan lanjut.
Enam penumpang Mazda 5 yang terdiri daripada seorang lelaki dewasa, dua wanita dan tiga kanak-kanak perempuan dilaporkan selamat, begitu juga lima penumpang Toyota Hilux termasuk tiga kanak-kanak.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.13 tengah malam selepas memastikan kawasan kejadian selamat, jelasnya. – MalaysiaGazette