Foto Facebook JRTI

KUALA LUMPUR – Jaringan Rawang Tolak Insinerator (JRTI) meluahkan kekecewaan dengan kegagalan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mempamerkan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi projek Loji Tenaga Hijau Sultan Idris Shah (Sultan Idris Shah Green Energy Plant) meskipun pameran awam telah memasuki hari ketiga.

JRTI dalam kenyataannya semalam, menyifatkan kelewatan tersebut sebagai ketidak telusan pihak berkuasa dalam melibatkan masyarakat setempat terhadap projek berimpak besar yang melibatkan isu kesihatan dan alam sekitar.

“Kami dimaklumkan salinan laporan EIA baru sahaja diterima dan masih belum sedia untuk tontonan awam, selain ketiadaan Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan Perancang Bandar di pejabat bagi memberikan kelulusan akses kepada dokumen tersebut.

“Kelewatan itu tidak boleh diterima dan memalukan memandangkan notis rasmi JAS telah menetapkan laporan EIA dipamerkan dari 7 Mei hingga 5 Jun 2025, dengan ulasan awam dibuka sehingga 20 Jun,” katanya.

Menurutnya, ketidaksediaan dokumen berkenaan sejak hari pertama disifatkan sebagai satu kecuaian yang mencabuli hak masyarakat untuk mendapatkan maklumat penting dan menyertai proses membuat keputusan secara bermakna.

Agensi itu menegaskan, penduduk sekitar seperti di Batu Arang, Bandar Tasik Puteri, Kota Puteri, M Residence dan Bandar Seri Coalfields berhak mendapat akses penuh dan tepat pada masanya terhadap sebarang maklumat berkaitan projek yang boleh memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka.

“Sehubungan itu, JRTI menggesa agar tindakan segera diambil bagi memastikan laporan EIA segera dipamerkan dan proses rundingan awam berjalan secara telus serta adil selaras dengan prinsip keterbukaan dalam pentadbiran awam,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here