KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan mengehadkan umur belia kepada 30 tahun dikhuatiri boleh merencatkan kesinambungan pengalaman, kemahiran tadbir urus, dan jaringan kepada organisasi belia di negara ini.
Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Khairul Rizam Abu Samah berkata, langkah itu akan memberi kesan langsung kepada kelangsungan organisasi belia.
“Organisasi belia akan kehilangan ‘penghubung generasi’ yang mampu memimpin dan membimbing pemimpin muda, khususnya dari kawasan bandar dan luar bandar, yang melibatkan diri secara aktif selepas umur 25 tahun.
“Jika mereka hanya mempunyai tempoh singkat untuk memimpin sebelum mencapai umur 30 tahun, ia akan mengurangkan insentif dan ruang untuk menyumbang secara bermakna.
“Pemimpin muda berumur antara 31 hingga 35 tahun berperanan penting sebagai mentor dan tulang belakang kepada organisasi belia,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan had umur 30 tahun bagi belia di Malaysia akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026 dan ketika ini ialah 40 tahun.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kerajaan menetapkan tarikh kuat kuasa bagi Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 [Akta A1602] pada 1 Januari 2026.
Khairul Rizam berkata, langkah itu boleh melemahkan penyertaan golongan B40 dan M40 program pembangunan belia, terutama mereka yang menghadapi cabaran membahagi masa antara keperluan sara hidup dan aktiviti belia.
“Ramai belia hari ini hanya mencapai kestabilan kerjaya, kewangan dan kematangan organisasi selepas usia 30 tahun.
“Had umur baharu itu boleh menyebabkan kumpulan ini terpinggir daripada ruang pembangunan kapasiti dan kepimpinan,” katanya.
Selain itu, katanya, semakan semula had umur ini perlu mengambil kira konteks semasa, bukan hanya berdasarkan piawaian terdahulu.
“Perubahan landskap pendidikan, kerjaya, dan ekonomi menyebabkan belia hari ini matang dalam fasa yang berbeza berbanding masa lalu.
“Kami mencadangkan agar had umur belia ditakrifkan semula kepada 15 hingga 35 tahun dengan pengelasan kumpulan umur dalam program pembangunan, misalnya 15–24 (belia muda), 25–30 (belia pertengahan), dan 31–35 (belia matang).
“Pendekatan ini membolehkan dasar dan program dilaksanakan secara lebih bersasar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak termasuk kerajaan, pemimpin politik dan badan bukan kerajaan untuk mendengar suara akar umbi belia dalam isu ini.
“Apa jua keputusan yang diambil mestilah berpaksikan kepada realiti semasa dan kepentingan jangka panjang generasi muda negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette