Ramanan mengadakan pertemuan bersama akar umbi PKR zon utara di Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG JAYA – “Hanya ada satu kem sahaja dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu kem Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” tegas Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR, Datuk Seri R. Ramanan menjawab persoalan kemungkinan wujud ‘Kem Anwar’ berbanding ‘Kem Rafizi’ susulan pencalonan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden.

Beliau yang juga calon Naib Presiden berkata, tanggapan bahawa wujud kem atau puak lain dalam parti menyumbang kepada perpecahan dan salah faham di peringkat akar umbi.

“Sebelum ini ada pihak mendakwa kononnya mereka mewakili ‘team kedua’ sekali gus menimbulkan masalah dalaman dan kita kena hentikan budaya sebegini.

“Malah, semua ahli harus akur bahawa PKR hanya mempunyai satu kem iaitu kem presiden yang sah,” katanya ketika mengadakan pertemuan bersama akar umbi zon utara di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Ramanan juga menafikan spekulasi kononnya pencalonan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden dirancang oleh presiden sendiri.

Sebaliknya, jelas Ramanan, pencalonan Nurul Izzah adalah suara akar umbi dan ia terbukti apabila 201 daripada 220 cabang di seluruh negara secara terbuka menyatakan sokongan terhadap pencalonan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden menjelang Kongres Nasional di Johor nanti.

“Datuk Seri Anwar sendiri tidak tahu pun anaknya akan bertanding. Bagi saya, ini satu pencalonan luar biasa dan ia mencerminkan semangat demokrasi dalam PKR apabila ratusan cabang nyatakan sokongan terhadap Nurul Izzah.

“Malah saya percaya, sokongan besar terhadap Nurul Izzah adalah kerana beliau tidak memegang sebarang jawatan kerajaan dan dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada hal ehwal parti,” katanya.

Terdahulu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menegaskan keputusan beliau untuk bertanding kerusi Timbalan Presiden adalah demi tanggungjawab dan bukannya kepentingan peribadi.

Anak sulung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menambah, perjuangan PKR bukan milik mana-mana individu tetapi milik kolektif mereka yang masih setia dengan idealisme Reformasi sejak 1998.

Mengulas mengenai label “Parti Anak Beranak”, beliau menegaskan bahawa tuduhan itu bukan perkara baharu, malah telah digunakan sejak awal penubuhan parti.

“Bertanding secara terbuka dan mendapat mandat akar umbi bukanlah bentuk nepotisme, malah ia mencerminkan semangat demokrasi dalam PKR,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here