GEORGE TOWN – Seorang ibu mendakwa kepala anak perempuannya berusia lapan tahun melengkung selepas menerima rawatan akibat masalah keguguran rambut di sebuah hospital swasta di Selangor.
KS. Parameswary, 37, mendakwa episod malang itu menimpa anaknya selepas dia membawa kanak-kanak itu ke sebuah klinik swasta berhampiran kediaman mereka di Semenyih untuk mendapatkan rawatan pada 29 Mac lalu.
Jelasnya, doktor klinik berkenaan mengesahkan anaknya mempunyai masalah Alopecia sebelum dinasihatkan mendapatkan rawatan di hospital untuk rujukan pakar.
“Pada 4 April lalu saya dan suami membawa anak kami ke hospital swasta itu dan berjumpa dengan pakar dermatologi sebelum dia memberikan sebotol ubat sapu jenis Elomet – Mometasone Furoate Lotion (30ml/ 0.1%) selain mengarahkan untuk menggunakannya dua kali sehari.
“Bagaimanapun, selepas sebulan penggunaan tiada perubahan positif yang berlaku, malah bahagian kulit kepala anak saya menjadi melengkung dan dia mula mengadu sakit jika disentuh.
“Susulan itu, pada 2 Mei lalu sekali lagi kami berjumpa dengan pakar sama bagi mendapatkan perkembangan lanjut namun dia hanya memaklumkan perkara yang menimpa anak saya adalah normal namun menasihatkan untuk hentikan penggunaan ubat tersebut serta meminta kami datang semula untuk temujanji seterusnya pada 4 Julai depan,” katanya, hari ini.
Tambah Parameswary, dia kecewa dengan tindakan doktor berkenaan kerana gagal memberikan gambaran sebenar berhubung anaknya meskipun kanak-kanak itu sering mengadu kesakitan di bahagian kepala.
“Saya telah buat laporan polis berhubung kejadian yang menimpa anak saya susulan tidak puas hati dengan doktor berkenaan yang gagal memberikan penjelasan sepatutnya kepada kami.
“Justeru saya berharap ada pihak bertanggungjawab dapat memberi perhatian serius terhadap kes ini bagi memastikan kesihatan anaknya tidak terus terjejas,” katanya. – MalaysiaGazette