KUALA LUMPUR – Indeks harga pasir mencatatkan peningkatan iaitu antara 0.1 peratus sehingga 3.8 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada April 2025 berbanding bulan lepas.

Peningkatan tertinggi bagi indeks harga bahan ini telah direkodkan di Pahang (3.8%), diikuti dengan Perak (2.9%), Johor dan Kuching (masing-masing 1.6%).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks harga besi pula menurun antara -0.1 peratus sehingga -3.4 peratus pada April 2025 berbanding bulan lepas.

Penurunan tertinggi indeks harga bahan ini dicatatkan di Pulau Pinang, Kedah & Perlis dan Kota Kinabalu (masing-masing -3.4%), diikuti dengan Pahang (-0.8%) dan Kuching (-0.6%).

Indeks harga seunit bahan ini juga telah mencatatkan penurunan sejak empat (4) bulan berturut-turut.

Indeks harga seunit keratan keluli & logam juga mencatatkan penurunan kecil antara negatif 0.1 peratus hingga negatif 2.6 peratus bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada April 2025 berbanding bulan lepas.

Penurunan tertinggi bagi indeks harga bahan ini direkodkan di Perak (-2.6%).

Manakala, indeks harga simen kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Namun, penurunan kecil bagi indeks harga seunit bahan ini telah direkodkan bagi beberapa kawasan iaitu di Sandakan (-1.3%), diikuti dengan Perak dan Kuching (masing-masing -0.2%).

Perbandingan tahunan untuk tempoh April 2024 dan April 2025 menunjukkan indeks harga seunit simen merekodkan peningkatan antara 0.1 peratus hingga 3.5 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Peningkatan tertinggi bagi indeks ini dicatatkan di Johor dan Tawau (masing-masing 3.5%) dan diikuti dengan Pahang (3.3%).

Namun begitu, perbandingan tahunan indeks harga seunit besi pula mencatatkan penurunan antara negatif 1.1 peratus hingga negatif 17.2 peratus pada
April 2025 berbanding bulan yang sama tahun lalu bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Penurunan tertinggi bagi indeks harga seunit besi direkodkan di Perak (-17.2%).

Mohd Uzir menambah, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars
merekodkan penurunan kecil (-0.4%) dengan purata harga RM3,490.80 bagi setiap tan metrik berbanding bulan sebelumnya (Mac 2025: RM3,505.30 per tan metrik).

Trend penurunan harga bahan ini adalah sejajar dengan penyusutan harga komoditi besi dan bijih besi di pasaran antarabangsa.

Manakala, purata harga bagi simen Ordinary Portland pula telah mencatatkan peningkatan kecil (0.2%) dengan purata harga RM23.70 per 50 kg sekarung berbanding Mac 2025 (RM23.65 per 50 kg sekarung).

IKB termasuk bar keluli mengikut kategori bangunan dan kawasan di Semenanjung Malaysia mencatatkan penurunan antara negatif 0.1 peratus hingga
negatif 1.4 peratus pada bulan April 2025 berbanding bulan sebelumnya dan penurunan ini dicatatkan bagi hampir semua kategori bangunan dan kawasan kecuali di Perak dan Pahang.

IKB termasuk bar keluli di Sabah juga menunjukkan penurunan antara negatif 0.1 peratus hingga negatif 1.4 peratus bagi semua kategori bangunan
di Kota Kinabalu dan Tawau pada April 2025 berbanding bulan sebelumnya.

Manakala, IKB di Sandakan pula telah merekodkan peningkatan iaitu antara 0.1 peratus hingga 0.9 peratus bagi kebanyakan kategori bangunan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here