KUALA LUMPUR – Kadar penganggur pada Mac 2025 turun kepada 529,600 orang, merekodkan kadar pengangguran 3.1 peratus dipacu oleh kedudukan ekonomi yang optimistik, membolehkan pasaran buruh negara terus berkembang dengan stabil.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan tenaga buruh pada Mac 2025 terus bertambah sebanyak 0.2 peratus, mencatatkan 17.31 juta orang (Februari 2025: 17.27 juta orang).

Kadar penyertaan tenaga buruh Mac tidak berubah iaitu pada 70.7 peratus seperti pada bulan sebelumnya.

Menurutnya, peningkatan berterusan dalam guna tenaga direkodkan pada Mac 2025, dengan bilangan penduduk bekerja meningkat sebanyak 0.3 peratus kepada 16.78 juta orang (Februari 2025: 16.73 juta orang).

Kategori pekerja merangkumi 75.2 peratus daripada jumlah penduduk bekerja meningkat sebanyak 0.2 peratus, mencecah kepada seramai 12.61 juta orang pada Mac 2025, naik daripada 12.59 juta orang pada bulan sebelumnya.

Pada masa yang sama, bilangan penduduk bekerja sendiri bertambah sebanyak 0.6 peratus mencatatkan 3.15 juta orang berbanding 3.13 juta orang pada bulan lalu.

Sebahagian besar penduduk bekerja tertumpu dalam sektor perkhidmatan, khususnya dalam aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan & minuman; maklumat & komunikasi; serta aktiviti profesional, saintifik & teknikal.

Peningkatan bilangan penduduk bekerja turut dilihat dalam sektor pembuatan, pembinaan, pertanian, serta perlombongan & pengkuarian.

Dalam pada itu, sejumlah 79.4 peratus daripada bilangan penganggur adalah mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, atau penganggur aktif.

Dalam kategori ini, bilangan tersebut menurun sebanyak 0.5 peratus kepada 420,700 orang (Februari 2025: 422,700 orang).

Mengikut tempoh pengangguran bagi penganggur aktif, 63.9 peratus adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 5.5 peratus adalah merupakan mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.

Pada masa yang sama, mereka yang percaya tiada pekerjaan tersedia atau penganggur tidak aktif berkurang sebanyak 1.1 peratus merekodkan 108,900 orang
(Februari 2025: 110,100 orang).

Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun pada Mac 2025 kekal 10.3 peratus, dengan 299,700 penganggur belia (Februari 2025: 10.3%; 298,900 orang).

Begitu juga, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun tidak berubah iaitu pada 6.3 peratus, dengan 399,400 penganggur belia (Februari 2025: 6.3%; 401,600 orang). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here