Suspek berusia 25 tahun, dikenali Kecik atau nama sebenarnya, G. Deneshwaran berasal dari Teluk Intan, Perak yang diburu polis.

MELAKA – Polis Melaka sudah mengenalpasti seorang lagi suspek sindiket curi kabel yang sebelum ini berjaya melarikan diri selepas rakan sejenayahnya diberkas Selasa lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek berusia 25 tahun itu dikenali sebagai Kecik atau nama sebenarnya, G. Deneshwaran berasal dari Teluk Intan, Perak.

“Kita dah dapat segala bukti dan maklumat suspek dikenali Kecik ini dan percaya suspek akan dapat ditangkap dalam tempoh terdekat selepas gambarnya diedarkan sebagai orang buruan polis.

“Suspek juga didapati mempunyai rekod jenayah sebagaimana rakannya berusia 29 tahun yang mempunyai 14 rekod jenayah selain enam rekod dadah berjaya diberkas Selasa lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutupan Majlis Tamat Kursus Asas Unit Tempur Ringan (LSF) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka Siri 1/2025 yang disertai 78 anggota bermula 21 April lalu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini hari ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar

Pada 6 Mei lalu, media melaporkan tindakan seorang lelaki memandu melawan arus di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) sehingga merempuh empat kenderaan lain selepas dipercayai mencuri kabel membawa padah apabila dicekup polis.

Suspek berusia 29 tahun yang memandu pacuan empat roda (4X4) jenis Toyota Hilux ditahan kira-kira jam 5.30 pagi di KM216.8 Lebuhraya Plus arah utara berhampiran Plaza Tol Alor Gajah.

Bagaimanapun, seorang lagi suspek lelaki berjaya meloloskan diri ke seberang lebuh raya sebelum polis menemukan 44 batang wayar kabel disyaki dicuri dalam kenderaan itu.

Mengulas lanjut Dzulkhairi berkata, modus operandi sindiket berkenaan yang berasal dari luar Melaka itu adalah menyewa kenderaan dan hotel bajet di negeri ini untuk melakukan jenayah curi kabel.

“Kedua-dua suspek datang ke Melaka dari Perak pada 2 Mei lalu bagi tujuan curi kabel malah telah mencuri nombor plat sebuah kereta lain dan menampalnya di pacuan empat roda (4X4) yang disewa untuk mengelirukan pihak polis.

“Kenderaan 4X4 itu pula disewa di Kuala Lumpur bermula 29 April sehingga 6 Mei untuk melakukan jenayah ini di Melaka,” katanya. – MalaysiaGazettte

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here