KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta mengambil langkah proaktif bagi membantu rakyat menghadapi tekanan ekonomi daripada kesan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.
Ketua Dewan Muslimat Pas Malaysia (DMPM), Nuridah Mohd Salleh berkata, antara langkah yang perlu dilakukan ialah memastikan harga barangan asas seperti beras, minyak masak, gula dan tepung kekal stabil serta memperluaskan bantuan kewangan yang memfokuskan kepada golongan wanita B40, ibu tunggal dan keluarga berpendapatan rendah.
“DMPM juga menyarankan agar lebih banyak sokongan diberikan kepada usahawan wanita melalui penyediaan bantuan modal tanpa faedah untuk perniagaan kecil dan mikro.
“Selain itu, DMPM menggesa agar kerajaan mengadakan perbincangan dua hala bersama pemain industri dan usahawan dalam merangka strategi pemulihan ekonomi serta penurunan harga barangan,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.
Menurut Nuridah, pihaknya mencadangkan penubuhan pasukan petugas (task force) ekonomi di peringkat negeri yang berfungsi secara pantas dan berkesan bagi menjamin kestabilan ekonomi tempatan.
Pada masa sama beliau berkata, DMPM menekankan keperluan penubuhan sebuah Jawatankuasa Tindakan Khas oleh kerajaan Persekutuan yang melibatkan penyertaan daripada pihak pembangkang dan kerajaan negeri bagi menangani isu tarif secara menyeluruh dan inklusif.
Tambah beliau, dalam apa jua keadaan, wanita tidak boleh berputus asa sebaliknya, perlu lebih bijak, berani dan berdaya tahan dalam mengharungi cabaran ekonomi masa kini.
“Semoga Allah SWT terus memberi kekuatan dan ketabahan kepada seluruh wanita Malaysia dalam menghadapi situasi yang mencabar ini,” katanya. – MalaysiaGazette