Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad.

GEORGE TOWN – Seorang kerani syarikat swasta berputih mata selepas wang miliknya berjumlah RM685,000 lesap akibat diperdaya sindiket penipuan pelaburan dalam talian menerusi aplikasi Q TOFF.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, mangsa berusia 60 tahun dikatakan mula terjerat selepas melihat satu iklan berkonsepkan jual beli saham di laman Facebook pada Disember tahun lalu.

Katanya, mangsa tertarik menyertai pelaburan itu apabila dijanjikan pulangan keuntungan yang tinggi dalam tempoh singkat.

“Mangsa kemudian berhubung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp sebelum nombor telefonnya dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp bernama Kelab Fortune Plaza.

“Dia diberikan penerangan di dalam group (kumpulan) WhatsApp itu dan diminta memuat turun aplikasi bernama Q TOFF untuk mendaftar dan melabur.

“Mangsa kemudian membuat 19 kali transaksi memasukkan wang ke dalam empat akaun bank berbeza sebanyak RM685,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Hamzah, mangsa hanya menyedari dia ditipu selepas mahu mengeluarkan keuntungan melalui aplikasi berkenaan berjumlah RM1.4 juta apabila diminta membuat pembayaran 10 peratus daripada nilai untung yang diperolehi.

“Mangsa telah tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumur Laut, di sini, semalam dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here