KUALA LUMPUR – Dua sahabat yang sedang makan di sebuah restoran tomyam di Jalan Klang Lama, di sini terkejut apabila melihat satu objek yang kelihatan seperti seorang bayi tersangkut pada batu di dalam Sungai Klang.
Kedua-duanya kemudian menghubungi pihak berkuasa di talian MERS 999, kira-kira 2.05 petang.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, sebaik menerima aduan, pasukan penyiasat bersama detektif, juru foto serta anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke lokasi bagi menjalankan siasatan awal.
“Saksi yang sedang berada di restoran berhampiran memaklumkan ternampak satu objek seperti mayat bayi tersangkut pada batu di Sungai Klang sebelum menghubungi polis.
“Berikutan itu, kita meminta bantuan pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh untuk membawa naik jasad bayi berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ku Mashariman berkata, siasatan mendapati jasad bayi lelaki itu berada dalam keadaan masih bertali pusat, dipercayai baru dilahirkan.
Tambah beliau, bedah siasat akan dijalankan di Jabatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) tengah hari, esok.
Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat secara sulit,” katanya.
Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab. -MalaysiaGazette