Agen Pelaburan, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman bercakap pada sidang media MHO mengenai Skandal Pelaburan I-RPS disyaki palsu babitkan 125 mangsa dan RM39.4 juta lesap di Megan Avenue 1, Jalan Tun Razak Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 5 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menafikan ia membela ahli perniagaan, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman yang didakwa terlibat dalam skim pelaburan meragukan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, peranan MHO ialah sebagai saluran alternatif untuk membantu mangsa mendapatkan semula wang mereka, bukan untuk menentukan siapa bersalah atau tidak.

“Kami tidak pernah kata Mahadi tak bersalah atau dia bukan ‘scammer’. Peranan kami hanyalah membantu pelabur yang datang dengan dokumen dan bukti,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sidang media yang menampilkan Mahadi sebelum ini dibuat atas persetujuan pengadu dan ejen pelaburan bagi memberi ruang kepada semua pihak untuk bersuara secara terbuka.

“Mahadi sendiri buat laporan polis mendakwa dia rugi RM20.7 juta. Kalau laporan itu palsu, biar polis siasat. Kami tiada kuasa siasatan mendalam sebaliknya kami bertindak atas dokumen yang dikemukakan kepada kami,” ujarnya.

Beliau percaya Mahadi ada melakukan kesalahan, khususnya mempromosikan pelaburan yang tidak didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Saya sendiri tanya dia, tak rasa bersalah ke tengok mangsa menangis? Dia jawab, dia rasa bersalah. Jadi, kalau dia bantu promosi skim itu, dia juga perlu bantu cari jalan pulangkan wang pelabur,” ujarnya.

Mengulas bayaran yang dikenakan kepada pengadu, beliau menjelaskan, ia adalah untuk menampung kos guaman, aktivis, operasi dan semua pembayaran mempunyai rekod serta bukti.

“Mahadi sendiri bayar RM2,500 untuk dapatkan bantuan daripada kami. Ia bukan sogokan, semuanya didokumenkan dengan jelas.

“Mana-mana pihak yang mempunyai bukti kukuh berkaitan penipuan oleh Mahadi agar tampil dan menghubungi kami, kita akan bantu buat tuntutan dan ambil tindakan yang sewajarnya terhadap Mahadi,” katanya. -MalaysiaGazette

Saya sendiri melabur, saya juga mangsa – Mahadi

Mangsa pelaburan islamik tampil dedah kerugian, dakwa projek tak wujud

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here