Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar

KUALA LUMPUR – Bantahan terhadap Perintah Pemaparan Harga Ubat yang diperkenalkan kerajaan dianggap sebagai tindakan yang wajar kerana ia tidak hanya melibatkan isu peningkatan kos operasi semata-mata.

Sebaliknya, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata ia dilihat akan membuka ruang terhadap cabaran kewangan dalam kalangan pengamal perubatan am (GP) secara keseluruhannya.

Ujarnya, ini kerana kebanyakan GP bekerjasama dengan panel insurans atau syarikat yang sering lewat membuat bayaran tuntutan.

Selain itu tambahnya, proses dokumentasi juga dijangka semakin ketat menerusi ketetapan berkenaan.

“Risiko tuntutan malpraktis semakin meningkat, menyebabkan doktor GP perlu lebih berhati-hati dan mengambil insurans liabiliti yang mahal. (Juga) proses dokumentasi yang semakin ketat,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi, hari ini.

Selain menyifatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil mudah dalam isu tersebut, beliau dalam masa sama kecewa apabila pakar perubatan dan industri farmasi tidak dilibatkan dalam perbincangan sebelum keputusan berkenaan dibuat.

“Bantahan itu wajar kerana Kerajaan tidak ada perbincangan dengan pihak terlibat untuk dapat pandangan. Isu tanda harga ini bukan isu yang menyebabkan kos rawatan meningkat. Banyak isu lain. Tetapi kerajaan yang ambil mudah perkara ini.

“Dengan bantahan ini, sekurang-kurangnya doktor dapat menyatakan isu sebenarnya di samping rakyat lebih peka,” jelasnya.

Pada 1 Mei lalu semua premis klinik dan farmasi komuniti wajib memaparkan harga ubat yang dijual di premis masing-masing kepada pengguna.

Arahan itu dikuatkuasakan menerusi pewartaan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 yang menetapkan semua ubat perlu disertakan dengan tanda harga yang jelas, sama ada di rak pameran, katalog atau senarai harga bertulis.

Ekoran itu, kira-kira 200 doktor dan pekerja kesihatan berhimpun di Laman Perdana berhampiran Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada Selasa lalu bagi membantah pelaksanaan peraturan mewajibkan klinik swasta serta farmasi mempamerkan harga ubat-ubatan.

Bagaimanapun, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyifatkan arahan itu sebagai tidak praktikal kerana harga ubat kerap berubah bergantung kepada kos pembekalan dan faktor pasaran.

MMA berpendirian paparan maklumat harga boleh mengelirukan pesakit dan menimbulkan salah faham.

Mengulas lanjut, Zainal berkata, meskipun menghormati Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) namun keputusan mewajibkan paparan harga pada ubat dianggapnya sebagai langkah yang tidak sesuai.

Sebaliknya beliau berkata, KKM sepatutnya memfokuskan isu-isu yang lebih penting untuk diselesaikan dalam industri perubatan termasuk bayaran rundingan bagi GP yang tidak pernah disemak sepanjang 30 tahun selain peranan pentadbir pihak ketiga (TPA) dan syarikat insurans dalam pengurusan pesakit.

“(Selain itu) kerajaan kena ambil tahu dan selesaikan dulu isu jual ubat tanpa priskripsi dan GP yang boleh membantu mengurangkan beban fasiliti kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here