KUALA LUMPUR – Majlis Eksekutif Pelajar Kolej Ungku Omar, Universiti Kebangsaan Malaysia telah menganjurkan sebuah program bertemakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) “Anak Muda Nadi Malaysia” kali ke-10 atau Nadi X, baru-baru ini.
Program kesukarelawanan ini bertempat di Kampung Felda Pasoh 2, Negeri Sembilan.
Pelbagai aktiviti seperti forum hala tuju kerjaya dan latihan dalam kumpulan telah dianjurkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pasoh 2 (Felda), pada hari pertama.
Murid-murid tingkatan 1 sehingga 5 telah didedahkan dengan bermacam bentuk aliran pendidikan setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia.
Latihan dalam kumpulan yang dilakukan juga menyentuh aspek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi menarik minat murid dalam matapelajaran yang berkaitan.
Pada hari kedua, ‘Anak Muda Nadi Malaysia’ telah mengadakan aktiviti rewang bersama warga setempat dan keluarga angkat bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara mahasiswa dan masyarakat Felda Pasoh 2.
Aktiviti yang dijalankan di balai raya telah mendapat sambutan yang meriah oleh warga Felda dengan bantuan Majlis Belia Felda Pasoh 2 yang dipengerusikan oleh Yasiruddin Hashim.
Di sebelah petang pula, aktiviti sukaneka melibatkan warga kampung dan mahasiswa turut dijalankan dengan penglibatan yang cukup memuaskan.
Hari terakhir, majlis tahlil dan gimik penyerahan tanaman hidroponik telah dilakukan di Masjid Al Huda. – MalaysiaGazette