SEBERANG JAYA – Calon Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri R. Ramanan, mengakui suara akar umbi akan memainkan peranan besar dalam pemilihan Kongres Nasional di Johor bulan ini.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR berkata, ia susulan rata-rata akar umbi meluahkan kekecewaan terhadap sikap segelintir pimpinan atasan yang dahulunya mesra dan mudah dihubungi namun berubah selepas mendapat jawatan tinggi.
“Saya tidak mahu sembunyikan hal ini. Ini adalah maklum balas yang sangat jelas daripada ahli di bawah. Mereka kata, dulu pemimpin angkat telefon. Sekarang dah ada driver (pemandu) ada bodyguard (pengawal peribadi), kerani, jadi susah nak dekati mereka.
“Mesej itu berulang kali diungkapkan oleh akar umbi semasa saya turun ke negeri termasuk Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Sabah,” katanya ketika mengadakan pertemuan bersama akar umbi zon utara di sini, hari ini.
Mengulas mengenai persaingan Naib Presiden, Ramanan mennyifatkan ia merupakan persaingan sengit susulan 10 calon lain turut menghantarkan borang pencalonan bagi merebut jawatan sama.
Bagaimanapun, Ramanan optimis dengan peluangnya atas dasar hubungan rapat dan sokongan kuat daripada rakan seperjuangan.
“Memang pertandingan kali ini sengit tetapi saya gembira kerana ramai rakan seperjuangan memberi sokongan cabang dari Kedah, Pulau Pinang serta Selangor.
“Walaupun mempunyai sokongan tapi saya tidak boleh mengambil mudah cabaran kali ini dan akan bekerja lebih keras bagi meyakinkan ahli parti,” katanya.
Selain itu, Ramanan turut berharap pemilihan parti kali ini dijalankan secara sihat tanpa serangan peribadi termasuk di media sosial.
Media sebelum ini melaporkan selain Ramanan beberapa pemimpin yang bertanding jawatan Naib Presiden sudah mengesahkan pencalonan antaranya dua penyandang iaitu Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Beberapa pemimpin lain turut mengesahkan pencalonan merebut jawatan nombor tiga parti itu ialah Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.
Sebanyak 237 pencalonan telah diterima untuk pertandingan pelbagai jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR setakat tengah hari tadi.
Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Kongres Wanita dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru. – MalaysiaGazette