Reaksi sedih pemain Harimau Malaya dan Selangor FC, Faisal Halim semasa membuat kemunculan kali pertama pada sidang media selepas menjadi mangsa simbahan asid ketika di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 13 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Keputusan mengejut pihak berkuasa mengklasifikasikan kes serangan asid terhadap pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim sebagai No Further Action (NFA) mencetuskan kebimbangan awam.

Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Danial Al-Rashid menyifatkan keputusan itu bukan sahaja menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi keselamatan dan kehakiman.

Malah, ia membuka ruang kepada persepsi bahawa kes berprofil tinggi boleh ditutup tanpa penjelasan yang munasabah.

“Faisal Halim bukan sekadar mangsa, beliau adalah simbol harapan anak muda negara.

“Ketelusan dan keadilan dalam kes beliau adalah ujian besar kepada integriti sistem perundangan kita,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau menganggap keputusan NFA sebagai tergesa-gesa dan tidak memadai dan menggesa kerajaan agar membuka kertas siasatan baharu untuk meneliti semula bukti, saksi serta kemungkinan penglibatan pihak ketiga yang masih belum didedahkan kepada umum.

Danial turut menyarankan agar Faisal sendiri membuat laporan polis baharu sebagai asas undang-undang untuk memulakan siasatan semula.

“Usaha mendapatkan keadilan tidak boleh ditinggalkan separuh jalan.

“Mangsa tidak seharusnya dibiarkan menanggung kesan trauma dan kecederaan seumur hidup tanpa sebarang penjelasan atau penutupan kes yang wajar,” tambahnya.

Dalam pada itu, sikap membisu pihak berkuasa, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC), yang masih belum memberikan penjelasan awam mengenai asas keputusan menghentikan siasatan patut dipersoalkan.

“Adakah keadilan benar-benar ditegakkan, atau kita memilih jalan mudah kerana tekanan luar atau kekangan siasatan? Rakyat berhak tahu,” soalnya.

Keengganan membuka semula siasatan bukan sahaja mengecewakan, tetapi memberi isyarat bahaya kepada keselamatan rakyat dan masa depan keadilan di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here