KUALA LUMPUR – Seorang penuntut universiti swasta didenda RM5,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah mencabul ahli patologi wanita warga Amerika di dalam gerabak Transit Aliran Ringan (LRT) awal tahun ini.
Majistret S. Mageswary menjatuhkan hukuman itu terhadap warga Bangladesh, Rahman Md Moshiur, 28.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 26 tahun dengan maksud untuk mencabul kerhormatannya pada jam 9 pagi 9 Januari lalu di dalam gerabak LRT Universiti menghala ke LRT Bangsar.
Sehubungan itu penuntut tersebut melakukan kesalahan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Mohamad Poad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.
Lelaki itu yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah meringankan hukuman terhadapnya atas alasan dia telah insaf.
Dia berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama di masa hadapan. – MalaysiaGazette