KUALA LUMPUR – Pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sebanyak 100 mata asas daripada dua kepada satu peratus, mencerminkan kerajaan kurang berdaya merangsang ekonomi domestik.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, apabila kadar rizab diturunkan, bank mempunyai lebih banyak dana untuk memberi pinjaman, seterusnya meningkatkan jumlah bekalan wang dalam ekonomi dan merangsang aktiviti ekonomi.
Jelas beliau, lazimnya penurunan SRR akan memberi kesan positif terhadap pasaran modal.
Namun Dominic berkata, wujud kebimbangan di sebalik keputusan tersebut kerana ia berpotensi menyebabkan penyusutan nilai mata wang.
“Secara mudahnya, langkah ini ibarat menggalakkan rakyat untuk berbelanja kerana kadar faedah simpanan bank mungkin berubah. Bank akan mempunyai lebih banyak dana untuk dibiayai, dan kadar faedah yang lebih rendah akan menurunkan kos pembelian rumah, sekali gus merangsang permintaan dalam pasaran hartanah,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, penurunan SRR membantu syarikat mendapatkan pembiayaan lebih mudah bagi tujuan pembangunan, peluasan pasaran dan penerokaan perniagaan.
Manakala, bagi bank perdagangan pula, lebih banyak dana untuk dipinjamkan bermakna lebih banyak keuntungan boleh dijana, di samping mengurangkan kos daripada dana yang tidak aktif.
Selain itu tambah beliau, kadar faedah yang lebih rendah juga mungkin mendorong para penyimpan untuk mencari saluran pelaburan lain yang memberikan pulangan lebih tinggi, sekali gus mengurangkan saiz simpanan tetap dalam bank.
“Kewujudan tambahan dana pembiayaan sebanyak RM19 bilion di pasaran adalah perkara yang baik, tetapi saya berharap kerajaan mempunyai pelan sokongan untuk menghadapi sebarang ketidaktentuan yang mungkin berlaku.
“Dari sudut ekonomi, penurunan kadar SRR memang mampu merangsang pemulihan ekonomi. Dalam konteks makroekonomi, pelarasan SRR adalah antara instrumen penting Bank Negara dalam kawalan makro” katanya lagi.
Semalam BNM dilapor sebagai berkata, keputusan untuk mengurangkan SRR merupakan sebahagian daripada usaha berterusan BNM bagi memastikan mudah tunai yang mencukupi dalam sistem kewangan domestik negara. – MalaysiaGazette