KUALA LUMPUR – Sekumpulan kaki judi sabung ayam bertempiaran lari meninggalkan kawasan lapang di Kampung Puun Tunoh, Penampang, Sabah apabila lokasi pertaruhan mereka diserbu polis.
Bagaimanapun, tiga lelaki warga asing yang berada di tempat kejadian berjaya ditahan menerusi Op Dadu oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dalam serbuan kira-kira jam 5.00 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, tangkapan dibuat hasil risikan berhubung kegiatan perjudian sabung ayam yang aktif dijalankan di kawasan tersebut.
“Seramai tiga lelaki warga asing berusia antara 45 hingga 55 tahun berjaya diberkas.
“Manakala beberapa individu lain sempat melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Turut dirampas dalam operasi itu ialah empat ekor ayam hidup, dua ekor ayam mati, dua unit sangkar ayam serta wang tunai berjumlah RM604 yang dipercayai hasil pertaruhan.
Kesemua suspek dan barang rampasan telah dibawa ke IPD Penampang untuk tindakan lanjut.
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015, yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette