Antara barangan yang dirampas oleh Pasukan Polis Marin dalam operasi Op Taring Landai yang dijalankan. - Foto Ihsan PPM

KUALA LUMPUR – Cubaan menyeludup 24,000 liter diesel ke pasaran gelap gagal apabila Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak merampas sebuah kapal dan lori tangki dalam serbuan di Jeti Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), Kuala Baram, Isnin lalu.

Komander PPM Wilayah 5, Asisten Komisioner Ab Rahman Mat Hasan berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan Unit Risikan Marin PPM Wilayah 5 Miri menerusi pelaksanaan Op Taring Landai.

“Hasil pemeriksaan mendapati kapal tangki berkenaan sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak diesel ke sebuah lori tangki. 

“Namun, kedua-dua individu yang terlibat iaitu pemandu lori dan juragan kapal yang merupakan warga tempatan, gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya.

Menurut beliau, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM10.2 juta dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 oleh pihak KPDN.

“Juragan kapal juga didapati melakukan pelbagai kesalahan lain termasuk tiada master atau ked berkelayakan semasa operasi, gagal mengemukakan River Transport Permit (RTP), tidak memiliki lesen bot serta tiada Ketua Pemandu Enjin (Chief Engine Driver, CED) ketika menjalankan operasi.

“Kesalahan-kesalahan itu turut disiasat mengikut Ordinan Sungai Sarawak 1993 (SRO) dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1960 (MSO),” katanya.

Kes berkaitan SRO diserahkan kepada LSS untuk tindakan lanjut, manakala pelanggaran MSO diserahkan kepada Jabatan Laut Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here