Leo XIV muncul di balkoni utama Basilika St. Peter untuk menyampaikan ucapan sulungnya sebagai ketua Gereja Roman Katolik. foto Vatican News

LONDON – Robert Prevost, seorang kardinal berusia 69 tahun dari Chicago telah dipilih sebagai paus baharu – menjadi rakyat Amerika pertama yang memegang jawatan tertinggi gereja Roman Katolik itu.

Menurut Anadolu Ajansi (AA), beliau akan menggunakan nama Paus Leo XIV, menandakan kali pertama nama itu digunakan sejak abad ke-19.

Paus yang baharu dipilih itu muncul di balkoni utama Basilika St. Peter untuk menyampaikan ucapan sulungnya sebagai ketua Gereja Roman Katolik.

Pemilihan Prevost mencerminkan latar belakangnya dari Amerika dan hubungan rapatnya dengan Amerika Latin khususnya Peru, tempat beliau berkhidmat selama bertahun-tahun sebagai mubaligh sebelum dilantik menjadi uskup agung.

Beliau mempunyai dua kewarganegaraan – Amerika Syarikat dan Peru – dan dikenang atas komitmennya terhadap komuniti terpinggir serta usahanya memupuk perpaduan dalam gereja tempatan.

“Bersama-sama, kita mesti mencari jalan bagaimana menjadi sebuah gereja yang membina jambatan, mengadakan dialog dan terbuka menerima semua orang,” katanya kepada orang ramai.

Dilahirkan di Chicago pada 1955, Prevost ditahbiskan sebagai paderi pada 1982 selepas bergiat aktif sebagai pembantu altar ketika muda. Sebagai ahli Ordo Augustinian, beliau berpindah ke Peru pada usia 30 tahun untuk menjalankan misi bagi pihak ordo berkenaan.

Dedikasinya membawa kepada pelantikan sebagai Uskup Chicago oleh Paus Francis, setahun selepas Francis memegang jawatan paus.

Dengan 80 peratus kardinal dalam konklaf dilantik oleh Francis, pemilihannya dilihat sebagai kesinambungan kepada laluan reformasi yang dirintis oleh bekas paus itu.

Hubungan Leo XIV dengan Amerika Latin serta pendekatan pastoralnya dianggap meneruskan legasi Francis. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here