GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) agar membatalkan pelantikan Abdul Kadir Din sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Presiden SAM, R. Meenakshi berkata, ia susulan kemungkinan berlaku konflik kepentingan Abdul Kadir dengan syarikat swasta berkaitan pengurusan air dan sisa.
Jelas beliau, meskipun pihak Kementerian Peralihan tenada dan Transformasi Air (Petra) memaklumkan Abdul Kadir telah meletakkan jawatan daripada syarikat-syarikat tertentu namun sebelum ini dia mempunyai kaitan dengan syarikat yang menguruskan perkhidmatan air di Johor.
“Bagi SAM, peletakan jawatan daripada syarikat tersebut tidak cukup untuk memberi jaminan atau keyakinan kepada umum.
“Kemungkinan atau persepsi konflik k,epentingan masih wujud di mata masyarakat kerana kaitan beliau dengan syarikat-syarikat ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Meenakshi, demi tadbir urus yang baik serta integriti SPAN dalam melaksanakan tugasnya tanpa rasa takut atau pilih kasih, setiap pengerusi atau ahli suruhanjaya mestilah bebas serta tidak mempunyai sebarang hubungan dengan industri perkhidmatan air atau pembetungan.
“SPAN seharusnya menjadi badan bebas yang memantau dan mengawal selia perkhidmatan bekalan air dan pembetungan, yang merupakan fungsi penting demi kepentingan awam, bebas daripada pengaruh pihak berkepentingan.
“Kepercayaan rakyat terhadap SPAN amat penting supaya reformasi yang perlu dalam sektor air dapat dilaksanakan dengan berkesan, terutama dalam menghadapi cabaran perubahan iklim, memastikan kecekapan operasi, tadbir urus yang baik dan bebas daripada rasuah.
“Sehubungan itu, SAM mengulangi gesaan agar pelantikan Abdul Kadir dibatalkan serta mendesak Perdana Menteri campur tangan bagi melantik pengerusi yang benar-benar bebas dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan sektor perkhidmatan air dan pembetungan,” katanya. – MalaysiaGazette