KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan tohmahan yang tular dalam satu video TikTok yang mendakwa seorang pegawai kanan SPRM telah menekan Datin Seri Pamela Ling Yueh untuk menyelesaikan isu penceraian dengan suaminya semasa disiasat.
Suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini berkata, siasatan dalaman menunjukkan pegawai tersebut tidak terbabit langsung dalam penyiasatan kes terhadap Pamela Ling Yueh dan tidak pernah berjumpa beliau.
ARTIKEL BERKAITAN
Tambahnya, pegawai tersebut telah membuat laporan polis dan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung kandungan video tersebut, yang disifatkan sebagai fitnah dan berniat jahat.
Beliau juga menafikan segala tuduhan dan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut terhadap penyebar kandungan fitnah tersebut.
“SPRM menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan berunsur fitnah kerana ia boleh mengelirukan masyarakat dan mengganggu siasatan kes yang kini disiasat sebagai kes orang hilang oleh pihak polis,” kata kenyataan itu. -MalaysiaGazette