Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang merasmikan Projek Pembangunan Stesen Pengisian Hidrogen Mudah Alih (MHRS) yang pertama Semenanjung Malaysia di tempat letak kereta lot 2M8, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 9 MEI 2025

PUTRAJAYA – Malaysia melakar sejarah baharu dalam pembangunan tenaga bersih dalam sektor mobiliti menerusi pelancaran Stesen Pengisian Hidrogen Mudah Alih (MHRS) yang pertama di Semenanjung, hasil kerjasama strategik antara kerajaan dan industri swasta.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, projek ini merupakan inisiatif utama dalam merealisasikan aspirasi negara ke arah pelepasan karbon sifar menjelang 2050.

“Bagi merangsang ekosistem mobiliti hidrogen, kerjasama perlu dijalin dengan pembekal kenderaan elektrik sel fuel (FCEV).

“Infrastruktur asas bagi pengisian hidrogen dalam FCEV perlu disediakan bagi mempercepat penggunaan hidrogen sebagai bahan api dalam sektor pengangkutan dan mobiliti,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan MHRS di sini hari ini.

Majlis pelancaran MHRS pagi tadi berlangsung di tempat letak kereta lot 2M8, Presint 2, Putrajaya.

Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bertindak sebagai penganjur utama, bersama NanoMalaysia Berhad (NMB), Petronas Technology Ventures Sdn Bhd (PTVSB), SIME UMW, UMW Toyota Motor Sdn Bhd, dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) sebagai rakan pelaksana.

Stesen MHRS ini dibina sebagai pemangkin kepada permintaan pasaran kenderaan elektrik sel fuel (FCEV), sekali gus menyokong ekosistem pengangkutan hijau negara.

Dalam ucapan perasmiannya, Lih Kang berkata, projek ini mampu mengatasi cabaran kebergantungan kepada bahan api fosil serta menyumbang secara langsung kepada peralihan tenaga dan pembangunan mampan negara.

“Kejayaan menyiapkan projek pembangunan stesen MHRS ini adalah hasil daripada kerjasama padu antara beberapa peneraju utama industri hidrogen di Malaysia,” katanya.

Sebahagian orang ramai melihat Projek Pembangunan Stesen Pengisian Hidrogen Mudah Alih (MHRS) di tempat letak kereta lot 2M8, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 9 MEI 2025

NMB sebagai wakil MOSTI akan mengoperasikan stesen ini sebagai tapak ujian teknologi baharu, manakala Petronas bertanggungjawab membekalkan hidrogen rendah karbon serta menyelia aspek kejuruteraan dan pembinaan.

UMW Toyota pula menyumbang tiga buah kereta Toyota Mirai berkuasa hidrogen untuk projek ini, selain menawarkan sokongan operasi dan penyelenggaraan, manakala MGTC akan melaksanakan kajian kebolehlaksaan penggunaan kenderaan FCEV atas jalan raya tempatan dengan sokongan data daripada UMWT dan syarikat pembekal MHRS, iaitu Hydrexia Sdn Bhd.

Tambah Lih Kang lagi, Putrajaya dipilih sebagai lokasi kerana infrastrukturnya yang lengkap dan sesuai untuk penggunaan awal oleh bas serta lori hidrogen, selain menjadi pusat demonstrasi teknologi kepada orang awam.

Projek ini turut disokong oleh Perbadanan Putrajaya yang komited terhadap pembangunan bandar pintar rendah karbon, menjadikan pelaksanaan projek ini lebih mantap dan berkesan, jelas beliau.

“Dengan pasaran hidrogen global dijangka berkembang pesat, kejayaan pelaksanaan MHRS akan meletakkan Malaysia sebagai antara peneraju dalam ekonomi hidrogen serantau.

“Saiz pasaran stesen pengisian hidrogen kecil dijangka mencecah lebih AS$7.0 bilion menjelang 2034 (Global Market Insights 2025–2034), menjadikan projek ini sebagai batu loncatan penting untuk merangsang pelaburan, inovasi dan pertumbuhan sektor tenaga bersih negara,” tambah Lih Kang lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata projek berkenaan mencerminkan nilai Madani yang menekankan kemampanan, inovasi dan kesejahteraan sosial, sekali gus memacu negara ke arah status berteknologi tinggi menjelang 2030.

Beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan berharap kerjasama ini akan berterusan bagi merakyatkan sains serta mengarusperdanakan inovasi untuk kesejahteraan Malaysia. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here