SITIAWAN – Pelanggan wanita warga emas yang dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di sebuah restoran makanan segera, KFC di Jalan Haji Mohd Ali, dekat sini malam tadi disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman berkata, wanita berusia 73 tahun itu meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di wad kecemasan di Hospital Seri Manjung.
Menurutnya, sementara tujuh pelanggan lain termasuk seorang kanak-kanak yang kesemuanya berusia antara lima hingga 38 tahun cedera ringan dan sedang menerima rawatan di hospital sama.
Kata beliau, terdahulu pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian sebuah SUV Volvo XC90 merempuh bangunan restoran berkenaan sekitar jam 9.05 malam pada Khamis.
“Hasil siasatan mendapati kereta itu telah dipandu lelaki berusia 29 tahun yang datang dari arah Kampung Koh menuju ke arah Sungai Wangi.
“Apabila sampai di persimpangan lampu isyarat hadapan restoran itu, pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bangunan restoran dan turut melanggar lapan pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Hasbullah berkata, pemandu yang mengalami kecederaan ringan kemudiannya ditahan bagi siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang awam yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Syafiqah binti Baharudin di talian 012-6375962 atau 05-6899072 bagi membantu siasatan,” katanya lagi.
Pada Khamis media melaporkan seorang wanita warga emas cedera akibat tersepit di bawah SUV selepas kenderaan itu merempuh restoran KFC berkenaan, malam tadi
Tular di media sosial beberapa video memaparkan kenderaan tersebut berada di dalam premis berkenaan dengan keadaan remuk teruk pada bahagian hadapan selepas dipercayai melanggar lampu isyarat sebelum hilang kawalan lalu merempuh restoran terbabit. – MG Perak