Gambar hiasan

Oleh: Dr. Noor Aslinda Abu Seman

SELEPAS Ogos 2025, harga telur di pasaran dijangka mengalami perubahan besar berikutan penamatan sepenuhnya subsidi telur ayam yang telah disalurkan oleh kerajaan untuk menampung kos pengeluaran. Langkah ini diambil selepas kerajaan embelanjakan hampir RM2.5 bilion sejak pandemik Covid-19 untuk menangani lonjakan kos pengeluaran akibat kenaikan harga makanan ternakan dan gangguan bekalan global.

Penamatan subsidi ini memberi kesan besar kepada struktur kos pengeluar telur, terutamanya kepada pengeluar kecil yang kurang cekap dan berdaya saing. Secara purata, kos pengeluaran sebiji telur berada antara RM0.48 hingga RM0.58, dengan 76.2 peratus daripada kos ini disumbangkan oleh makanan ternakan.

Subsidi kerajaan sebelum ini membantu menampung kos ini, tetapi kini subsidi tersebut dikurangkan kepada RM0.05 pada April 2025 dan akan dihentikan sepenuhnya pada Ogos 2025. Tanpa subsidi, margin keuntungan pengeluar dijangka mengecil.

Hanya syarikat besar yang memiliki kecekapan operasi dan skala ekonomi akan mampu bertahan. Pengeluar lain disarankan untuk mencontohi syarikat yang berjaya, seperti RIF Farm, yang menghasilkan makanan ayam sendiri untuk menurunkan kos pengeluaran.

Strategi adaptasi industri telur pasca subsidi
Tanpa subsidi, pengeluar perlu beradaptasi dengan perubahan ini. Rantaian bekalan telur yang melibatkan produk mudah rosak memerlukan pengurusan yang cekap. Teknologi automasi, Internet of Things (IoT), dan kecerdasan buatan (AI) adalah pelaburan penting untuk meningkatkan kecekapan.

Sebagai contoh, ladang CCB (Chop Cheong Bee Sdn Bhd) di Alor Gajah menggunakan sistem berasaskan IoT dan AI untuk memantau kesihatan ayam, pengambilan makanan, dan pengurusan ladang, yang membantu mengurangkan pembaziran dan meningkatkan kecekapan tenaga kerja. Pengeluar boleh menyesuaikan pelaburan teknologi mengikut kemampuan mereka dengan menggunakan sensor suhu, automasi penyusuan, dan analitik data untuk ramalan permintaan.

Selain itu, kerjasama antara pengeluar, melalui koperasi, boleh menurunkan kos melalui perkongsian infrastruktur dan pembelian pukal. Langkah ini dapat memperkukuh daya tahan industri dalam menghadapi pasaran terbuka. Pengeluar juga boleh meneroka diversifikasi produk seperti telur kampung atau telur organik dan memanfaatkan saluran jualan digital atau perjanjian bekalan jangka panjang dengan pasar raya.

Dengan penjenamaan dan pensijilan halal/organik, produk telur juga dapat menambah nilai di mata pengguna yang semakin mementingkan kualiti dan sumber produk. Walaupun subsidi ditamatkan, sokongan daripada kerajaan tetap penting.

Ini termasuk geran transformasi teknologi untuk pengeluar kecil dan sederhana, penstabilan harga input seperti makanan ayam melalui skim import pukal, serta peluasan program jualan seperti Agro MADANI dan Jualan Rahmah untuk memudahkan pengguna dan pengeluar menyesuaikan diri dengan perubahan ini.

Isu kebergantungan terhadap barangan import, terutamanya makanan ternakan ayam, juga menjadi cabaran utama. Pakar ekonomi, Barjoyai Bardai menyatakan  keselamatan makanan negara akan terjejas selagi Malaysia terus bergantung kepada import.

Peningkatan kapasiti pengeluaran domestik adalah keperluan mendesak. Ladang berskala besar dengan teknologi moden dapat menyumbang kepada kestabilan bekalan domestik, tetapi peluang juga boleh diwujudkan untuk ladang kecil melalui insentif pemodenan dan kerjasama dengan pelabur strategik.

Menjelang 2026, permintaan telur dijangka mencecah 599,000 metrik tan, menunjukkan prospek cerah untuk industri telur Malaysia. Namun, kelangsungan industri bergantung kepada keberanian pengeluar untuk berubah, berinovasi, dan menyesuaikan diri dengan cabaran pasca subsidi.

Tanpa subsidi, industri telur kini diuji keupayaannya untuk berdikari. Yang bersedia akan bertahan. Yang leka mungkin terkubur bersama sejarah bantuan lampau. Semua pihak daripada pengeluar, pengedar, penggubal dasar, hinggalah pengguna perlu berganding bahu untuk mengambil langkah proaktif, mengadaptasi teknologi, dan merancang diversifikasi produk serta kerjasama dalam rantaian bekalan.

Gabungan antara usaha industri dan sokongan kerajaan adalah kunci kepada masa depan yang mampan dan berdaya saing. Industri telur Malaysia kini berada di ambang perubahan struktur yang besar.

Masa depan yang lebih mampan dan berdaya saing hanya akan dicapai oleh mereka yang berani keluar dari zon selesa dan sanggup melakukan transformasi secara menyeluruh. Inilah masanya untuk seluruh ekosistem industri tampil dengan pendekatan baharu yang lebih cekap, lestari dan tahan uji.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Johor Business School, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here