KUALA LUMPUR – Polis merampas 491 kotak minuman keras tidak bercukai dalam satu serbuan bernilai lebih RM500,000 di Taman Megah Ria, Masai, Johor.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata yang operasi dilakukan Polis Marin Wilayah 2 Tampoi itu dijalankan sekitar jam 5.30 semalam.
“Pasukan peronda menahan sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso bersama tiga kenderaan lain iaitu Toyota Unser, Honda Odyssey dan Toyota Camry di tepi Jalan Kempas, dipercayai digunakan untuk membawa minuman keras berkenaan.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 44 hingga 56 tahun dan rampasan 134 kotak DS Ultimate Beer 21%, 241 kotak DS Strong Beer 12%.
“Ia termasuk 86 kotak DS Strong Beer 16%, 14 kotak Skye Beer dan 16 kotak Snow Beer dengan anggaran nilai keseluruhan berjumlah RM509,214.20,” katanya.
Selain itu, katanya, empat kenderaan yang digunakan untuk aktiviti itu turut dirampas dengan nilai anggaran RM170,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan mencecah RM679,214.20.
“Siasatan awal turut mendedahkan dua daripada suspek mempunyai empat rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah,” jelasnya
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai atau RM500,000 atau penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette