Kehadiran Tunku Tun Aminah, puteri kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, disambut mesra oleh Menteri KPKT, Nga Kor Ming dan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Wira M Noor Azman Taib bersama warga kementerian di ibu pejabat KPKT, Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Kunjungan hormat Yang Amat Mulia Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) semalam telah menyerlahkan komitmen berterusan terhadap pembangunan komuniti dan agenda kelestarian alam.

Puteri kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah itu telah disambut mesra oleh Menteri KPKT, Nga Kor Ming dan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Wira M Noor Azman Taib bersama warga kementerian di ibu pejabat KPKT, Putrajaya.

Lawatan selama dua jam itu menyaksikan sesi perbincangan dua hala antara Kor Ming dan Tunku Tun Aminah yang menyentuh pelbagai isu berkaitan pembangunan komuniti inklusif, kerjasama strategik serta pengukuhan inisiatif hijau selari dengan matlamat pembangunan mampan negara.

Dalam pertemuan tersebut, Kor Ming turut mempersembahkan Kad Laporan Pencapaian KPKT 2024 yang mengetengahkan kejayaan kementerian merangkul Anugerah Pembangunan Negara serta impak pelbagai program kepada rakyat.

Antara inisiatif yang diketengahkan termasuk Program Hari Landskap Negara 2024 yang berlangsung pada 25 Mei lalu.

Program berkenaan turut mencipta sejarah apabila dirasmikan sendiri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, serta turut dihadiri oleh Tunku Tun Aminah sebagai simbol sokongan terhadap landskap hijau dan ruang awam berkualiti.

Tunku Tun Aminah turut meluangkan masa meninjau aset-aset kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang dipamerkan di perkarangan KPKT, sebagai tanda sokongan terhadap keupayaan pasukan keselamatan awam dalam melindungi rakyat dan alam sekitar.

Sebagai penghargaan, pihak KPKT menyampaikan cenderamata khas kepada Tunku Tun Aminah, sebelum baginda diraikan dalam satu majlis santapan ringkas yang berlangsung dalam suasana mesra dan penuh tertib.

Kor Ming turut merakamkan penghargaan tinggi atas kesudian Tunku Tun Aminah mencemar duli ke kementerian tersebut.

Beliau menyifatkan kunjungan itu sebagai pemangkin semangat warga KPKT untuk terus memperkukuh kesejahteraan rakyat melalui pendekatan mampan dan lestari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here