SERDANG – Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh langkah ke arah globalisasi akademik dengan menjadi tuan rumah kepada The 4th International Conference on Deep Sciences for Computing and Communication (ICONDEEPCOM 2025) yang berlangsung pada 29 dan 30 April lalu.
Persidangan ini merupakan hasil kerjasama strategik antara UPM dan SRM Institute of Science and Technology, India, dan merupakan satu pencapaian penting dalam usaha memperluas jaringan penyelidikan antarabangsa serta mengukuhkan peranan UPM sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan dalam kecerdasanbuatan (AI) dan pengkomputeran mendalam yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Sepanjang dua hari persidangan, para peserta dari pelbagai negara—merangkumi penyelidik, pelajar prasiswazah dan pascasiswazah, serta pakar industri—telah berkongsi hasil penyelidikan terkini meliputi topik seperti pembelajaran mendalam, komunikasi pintar, sains data lanjutan dan keselamatan siber.
Penganjuran ini merangsang pelbagai inisiatif kolaboratif, termasuk penulisan artikel jurnal bersama, penyeliaan bersama pelajar penyelidikan, serta pembangunan geran penyelidikan di peringkat antarabangsa.
Menurut Dekan FSKTM, Prof. Datuk Dr. Shamala K. Subramaniam, kerjasama ini mencerminkan komitmen fakulti untuk terus memacu kecemerlangan dalam penyelidikan bertaraf dunia.
“Kerjasama dengan institusi seperti SRM Institute membuka lebih banyak peluang untuk UPM menerajui penyelidikan dalam bidang termaju. Penganjuran bersama ICONDEEPCOM 2025 ini selari dengan aspirasi UPM menerusi inisiatif ‘True North’ dalam membudayakan kecemerlangan global, memperkukuh jaringan antarabangsa dan melonjakkan visibility penyelidikan kami di pentas dunia”.
Sebagai tuan rumah ICONDEEPCOM, UPM bukan sahaja mempamerkan keupayaan akademik dan teknologinya, malah membina ekosistem penyelidikan global yang inklusif dan berimpak tinggi. – MalaysiaGazette