KUALA LUMPUR – Tindakan warga asing yang cuba melakukan provokasi dan enggan membuka pintu rumah antara aksi yang berlaku dalam serbuan Ops Kutip yang dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor di sekitar kawasan Flat Seksyen 8, Shah Alam semalam.
Akibatnya, ada antara pintu kediaman yang terpaksa dipecahkan selepas penghuni enggan memberikan kerjasama.
Bagaimanapun, situasi tegang yang berlaku berjaya dikawal sepenuhnya oleh pasukan operasi.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi yang bermula pukul 9 malam itu disertai seramai 29 pegawai dan anggota JIM Selangor.
Dalam operasi itu katanya, 27 individu telah diperiksa dengan 23 daripadanya ditahan membabitkan 15 warga Indonesia, enam Bangladesh dan dua Pakistan berusia antara dua hingga 60 tahun.
“Hasl siasatan mendapati, kesemua warga asing terbabit telah berada di negara ini lebih enam bulan dan disyaki masuk ke Malaysia melalui Johor serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Mereka menyewa rumah sekitar kawasan itu dengan kadar bayaran antara RM700 hingga RM900 sebulan manakala, sewa bilik serendah RM200,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, kesemua tahanan dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Operasi penguatkuasaan secara berterusan dilakukan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin di negeri ini.
“JIM Selangor komited memastikan undang-undang imigresen dipatuhi dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melindungi atau menyewa kepada warga asing secara haram,” katanya. – MalaysiaGazette