Rakyat Palestin berkumpul untuk menerima hidangan panas di pusat pengedaran makanan di kem pelarian Nuseirat, tengah Semenanjung Gaza, Palestin. Foto AFP, 30 APRIL 2025.

WASHINGTON, 9 Mei (Bernama-dpa) — Sebuah yayasan baharu dari Amerika Syarikat (AS) sedang merancang untuk menyusun semula pengagihan bantuan ke Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Yayasan itu merupakan entiti bukan kerajaan dan akan membuat pengumuman “dalam masa terdekat”, kata jurucakap Jabatan Negara AS Tammy Bruce pada Khamis tanpa mengulas lanjut.

“Apabila mereka membuat pengumuman, anda akan mendapat butiran yang diperlukan,” katanya kepada pemberita.

Sejak awal Mac, Israel telah menyekat semua penghantaran bantuan ke wilayah terkepung itu yang dihuni kira-kira dua juta penduduk Palestin.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ratusan ribu penduduk Gaza kini berdepan kekurangan bekalan makanan.

Dokumen setebal 14 muka surat daripada Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang baru didaftarkan membayangkan untuk menyediakan makanan, air dan kit kebersihan kepada kira-kira 1.2 juta penduduk Palestin melalui empat pusat agihan di Gaza.

Kemudian, projek itu menyasarkan untuk membantu semua penduduk Gaza.

“Pelencongan laluan bantuan, pertempuran aktif dan sekatan akses telah menghalang bantuan menyelamatkan nyawa daripada sampai kepada mereka yang memerlukannya serta menjejaskan keyakinan penderma,” menurut dokumen GHF.

“GHF ditubuhkan untuk memulihkan talian hayat penting ini melalui model bebas dan diaudit dengan ketat, bagi memastikan bantuan disalurkan secara langsung – dan hanya – kepada mereka yang memerlukan.”

Yayasan itu bercadang untuk membekalkan pakej makanan yang mengandungi 50 hidangan kepada keluarga, selain menyalurkan bantuan daripada pertubuhan kemanusiaan lain ke Semenanjung Gaza.

Menurut cadangan itu, laluan dan pusat agihan akan dikawal oleh pengawal keselamatan swasta, manakala tentera Israel tidak akan terlibat dalam kawalan atau pengagihan bantuan.

Lembaga pengarah yayasan itu termasuk bekas Ketua Eksekutif World Central Kitchen Nate Mook, Raisa Sheynberg dari Mastercard, pengasas Current Capital Jonathan Foster dan peguam Loik Henderson.

— BERNAMA-dpa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here