PEKAN – Seramai 344 wira muda Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2025 telah melapor diri untuk menjalani latihan selama 45 hari bermula 11 Mei 2025 sehingga 24 Jun 2025.
Menurut Ketua Pengarah JLKN, Datuk Ya’cob Samiran, berkata, seramai 206 orang pelatih lelaki dan 138 orang pelatih wanita telah melapor diri hari ini di Kem Rejimen 505 (AW) Kem Force 136, Pekan, Pahang dan Kem Rejimen 515 (AW), Jalan Buku Lima, Kuala Lumpur.
”JLKN telah melaksanakan penambahbaikan dengan mengasingkan pelatih mengikut jantina di dua kem berbeza iaitu Kem 505 (AW) Pekan, Pahang menempatkan pelatih lelaki.
”Manakala Kem 515 (AW) Kuala Lumpur menempatkan pelatih wanita namun masih mengekalkan modul latihan yang sama iaitu merangkumi 30% elemen kenegaraan dan 70% elemen asas ketenteraan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi mana-mana pelatih yang telah terpilih tetapi belum melapor diri di kem yang ditetapkan, mereka masih berpeluang untuk hadir melapor diri sehingga 16 Mei 2025 sebelum jam 12 tengahari.
Tegasnya pelatih yang gagal untuk melapor diri pada tarikh dan masa berkenaan, mereka boleh dirujuk ke Bahagian Undang-Undang selaras dengan Seksyen 18 (1) Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628).
Sehubungan itu, JLKN mengesa mana-mana pelatih yang telah terpilih untuk terus melapor diri di kem-kem berkenaan.
Untuk maklumat lanjut pelatih boleh berhubung dengan Unit Pelatih, Bahagian Pengurusan Pelatih Jabatan Latihan Khidmat Negara di talian 014-234 5989, 019-310 1090 dan 019-333 2467.
Tinjauan MalaysiaGazette di Kem Rejimen 505 (AW) Kem Force 136, di Pekan mendapat pelatih mula hadir mendaftarkan diri seawal jam 7.30 pagi ditemani ibu bapa dan melakukan pemeriksaan tapisan keselamatan serta diberi taklimat khas.

Manakala 20 peserta dari Sabah dan Sarawak di bawa ke sini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada petang ini.
Untuk rekod, seramai 116 peserta PLKN 3.0 Siri 1/2025 telah berjaya menamatkan program berkenaan dari 12 Januari hingga 25 Februari 2025.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN :
Peluang Masih Dibuka Kepada Peserta PLKN Yang Dipilih Untuk Lapor Diri
PLKN 3.0 siri kedua: Peserta diberi tempoh hingga Selasa untuk mendaftar