Pegawai penguatkuasa DBKL mengeluarkan kompaun terhadap seorang peniaga atas kesalahan yang dilakukannya dalam Operasi Penguatkuasaan Anti-Litter di sekitar kawasan Lorong Haji Taib dan Jalan Tuanku Abdul Rahman, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 35 kompaun dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu Operasi Penguatkuasaan Anti-Litter yang dilakukan di sekitar kawasan Lorong Haji Taib dan Jalan Tuanku Abdul Rahman, baru-baru ini.

Operasi berkenaan menyasarkan peniaga yang melanggar peraturan berkaitan kebersihan dan penyelenggaraan ruang awam.

Antara kesalahan yang dikesan adalah meletakkan barang perniagaan di tempat awam tanpa kebenaran, membuang sampah di tempat awam dan longkang serta menghalang longkang dengan sisa dan barangan hingga menjejaskan aliran air.

“Sebanyak 16 kompaun dikeluarkan ke atas peniaga di bawah Seksyen 46(1)(d), 12 kompaun di bawah Seksyen 47(1)(d) dan 7 kompaun di bawah Seksyen 47(1)(a),” kata DBKL melalui hantaran di Facebook.

Ketiga-tiga seksyen itu tertakluk di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, yang memperuntukkan tindakan terhadap halangan atau pencemaran di kawasan awam.

Dalam pada itu, DBKL berkata, operasi berkenaan bukan sahaja bertujuan menjalankan tindakan penguatkuasaan, sebaliknya, untuk mendidik para peniaga agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan di sekitar premis masing-masing.

Selain itu katanya, tindakan turut diambil terhadap peniaga yang menyebabkan halangan kepada laluan pejalan kaki di hadapan dan belakang premis perniagaan mereka.

Menurut DBKL, persekitaran yang bersih bukan sahaja menjamin kesihatan awam, malah meningkatkan imej bandar raya itu kepada penduduk tempatan dan juga pelancong. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here