KUALA LUMPUR – UMNO tidak boleh leka dengan kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) di kerusi Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning kerana ada ‘medan peperangan’ jauh lebih besar sedang menanti mereka.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO perlu melangkah ke medan perang dengan naratif lebih segar, komunikasi lebih strategik dan gerak kerja lebih tajam, tuntas serta berani.
“Kita sudah mula menyaksikan tanda-tanda kebangkitan. Allah SWT mengurniakan kita kemenangan di Nenggiri, Mahkota, dan Ayer Kuning.
“Namun ingatlah, kita tidak boleh leka dengan kemenangan kecil, kerana medan peperangan jauh lebih besar sedang menanti di hadapan.
“Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bakal membuka gelanggangnya, disusuli PRN Melaka, PRN Johor, dan akhirnya, perang besar yang bakal menentukan nasib dan masa depan negara, Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya berucap pada Sambutan Ulang Tahun ke-79 UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau mengakui masih ada dalam antara akar umbi UMNO yang hatinya diselimuti keraguan serta terbuai dalam alunan sentimen dan bisikan.
“Saya mohon kepada seluruh ahli dan pimpinan UMNO berhentilah menanam syak wasangka dan bangkitlah memperteguh kepercayaan.
“Yakinlah, segala keputusan besar yang diambil bukan berdiri atas satu bahu semata. Ia lahir daripada musyawarah kolektif, daripada jiwa kepimpinan yang memikirkan untung nasib parti ini.
“Setiap keputusan pasti mendatang cabaran, pasti ada tercalar, pasti ada tercela, tetapi percayalah, keutamaan parti tidak akan kami robekkan, maruah perjuangan tidak akan kami khianati selagi kepercayaan kalian semua berikan,” katanya.
Selain itu, Ahmad Zahid juga berkata, UMNO tidak boleh diwariskan hanya atas nama, tetapi sebagai nilai dan kepimpinan.
“Kita mesti melahirkan pewaris berkualiti, generasi muda, wanita, profesional yang berani, berwibawa, dan berfikir kritikal.
“Graduan Sekolah Patriotik UMNO adalah tanda bahawa UMNO sedang membina barisan pewaris yang faham akar sejarah perjuangan bangsa,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, UMNO tidak boleh terjebak dalam perlumbaan siapa lebih radikal; sebaliknya UMNO mesti kekal sebagai parti pertengahan yang matang, waras dan menyatukan.
“Inilah politik pertimbangan, kestabilan dan harapan yang mesti kita semat dalam kita memimpin negara bangsa.
“Sudah sampai masanya kita semua, ahli UMNO, duduk merenung dengan jujur dan ikhlas. Merenung nasib parti keramat ini… merenung kelangsungan bangsa ini.
“Melakukan introspeksi bersama memikirkan apa akan jadi kepada UMNO jika kita terus terbelenggu oleh emosi,” katanya.
Katanya lagi, sejauh mana UMNO mampu berdiri sendiri sekiranya tidak membuat keputusan membentuk perpaduan.
“Masihkah UMNO relevan di mata pewaris muda, jika pengkhianatan terdahulu terus dibiarkan demi kerakusan kuasa? Mampukah UMNO kekal hidup, jika anjakan tidak kita lakukan bersama-sama?
“Serumpun bak serai, sesusun bak sirih; bukit sama didaki, lurah sama dituruni. Ya Allah, ya Tuhanku, kami serahkan segalanya pada-Mu — demi agama, bangsa, dan ibu pertiwi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette