BATU PAHAT – Kenderaan rasmi milik Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sri Gading dirosakkan pihak tidak dikenali semalam.
Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan berkata, Toyota Estima milik pejabatnya itu dipecahkan suspek yang menaiki motosikal pada pukul 11 pagi.
“Pegawai saya cuba mengejar pelaku namun tidak berjaya.
“Bagaimanapun, nombor plat motosikal suspek sempat direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor memberitahu laporan telah dibuat sejurus kejadian di Balai Polis Yong Peng dan pihak polis bertindak pantas dengan membuat tangkapan pada hari yang sama.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat atas tindakan pantas mereka,” ujarnya.
Sambil menyifatkan kejadian itu sebagai tidak wajar, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) itu turut menyeru semua pihak berpolitik secara matang dan tidak bersikap taksub hingga mencetuskan tindakan ekstrem.
“Saya berharap insiden seperti ini tidak berulang terhadap sesiapa, khususnya pemimpin politik.
“Kita perlu mengurus perbezaan pandangan secara berhemah dan bijaksana,” katanya.
Beliau turut menegaskan keperluan untuk memelihara keharmonian dan tatasusila budaya negara ini serta menolak sebarang bentuk keganasan atau provokasi.- MalaysiaGazette