Tangkap layar video tular

KUALA LUMPUR – Pemandu pikap dalam video tular berkaitan satu kes langgar lari berhampiran Plaza Tol Duta, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di sini, direman dua hari.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, suspek yang memandu kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara, merupakan seorang lelaki tempatan.

Katanya, suspek yang berusia 32 tahun itu kini sedang ditahan di lokap Dang Wangi untuk membantu siasatan.

Menurut Mohd Zamzuri, dalam kejadian jam 2.30 petang itu, suspek cuba memotong sebuah motosikal lain namun gagal mengelak motosikal mangsa lalu melanggar bahagian kanan motosikal berkenaan.

“Penunggang motosikal, seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun, retak tulang selangka dan luka di buku lali manakala isterinya berusia 49 tahun cedera lebih serius.

“Wanita itu patah buku lali dan tulang rusuk kanan serta pendarahan otak akibat pelanggaran itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zamzuri berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

Tambahnya, pihak polis menerima laporan pertama pada hari sama, jam 6.55 petang dibuat pemandu pikap terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Terdahulu, tular di media sosial klip video berdurasi satu minit memaparkan sebuah pikap melarikan diri selepas melanggar motosikal dinaiki pasangan suami isteri terbabit. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here