PUTRAJAYA – Pas mengenal pasti untuk bertanding sekurang-kurangnya di enam daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu mungkin menggunakan logo parti yang sedia bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
“Pengagihan terperinci belum ada, cuma rangka dah ada. Pas sudah kenal pasti sekurang-kurangnya enam kerusi yang kita akan tandingi dalam PRN Sabah akan datang dan mungkin akan gunakan logo dengan mana-mana parti gabungan kita nanti,” katanya selepas majlis Pelancaran Pelan Tindakan Komprehensif Get To Zero 2023 (GTZ2030), di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengenai persediaan Pas dan PN menghadapi PRN Sabah.
Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, kini PN sedang mengintai kerjasama politik dengan parti tempatan di Sabah termasuk Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Pas kompenan dalam PN dan kita sedang meninjau (kerjasama). Cuma kita meninjau tentang gabungan atau muafakat politik untuk diperkukuhkan PN diperingkat Sabah.
“Saya pun dah berapa kali di peringkat PN mengadakan perbincangan tetapi kita akui lepas pilihan raya dulu semua ADUN-ADUN yang menang atas tiket PN ini melompat parti dan bersama dengan GRS dan kita ada seorang ADUN lantikan daripada Pas.
“ADUN lantikan itu dilantik lepas pilihan raya dan sebab itu mereka kekal dalam kerajaan, dia tidak boleh lompat sebab bukan menang atas tiket parti. Oleh kerana itu, hubungan dengan GRS sangat baik dan tidak ada isu.
“Dan pandangan saya, kita perlu lihat kerangka yang lebih besar untuk menghadapi pilihan raya akan datang, tidak mustahil untuk Pas mengadakan kerjasama dengan mana-mana pihak yang sedia menerima syarat-syarat kita,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata, satu gabungan parti yang besar perlu diwujudkan di Sabah bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang untuk menentang gabungan PH-BN.
Tambah beliau, UMNO telah membuat keputusan untuk bekerjasama dengan PH.
Tuan Ibrahim berkata, beliau melihat parti-parti dari PN, GRS, Warisan boleh bergabung bagi menghadapi gabungan UMNO-PH.
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, beliau menjangka pertandingan tiga hingga empat penjuru akan berlaku pada PRN Sabah. – MalaysiaGazette