PUTRAJAYA – PAS tidak akan mencampuri urusan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk berkaitan jawatan presiden dan perebutan kerusi timbalan presidennya.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia adalah isu dalaman parti itu dan beliau tiada hak untuk memberi sebarang pandangan.
“Saya bukan ahli mereka. Komen PAS adalah ini isu dalaman parti PKR dan kita tidak akan campur tangan banyak, cuma penilaian kita terhadap apa yang ditularan masyarakat akan menimbulkan polimik soal keluarga.
“Seringkali dibangkitkan kalau presiden adalah bapa dan timbalan presiden pula anak, itu yang diviralkan tapi bagi saya ini pemilihan hak urusan parti masing-masing dan kita tengok macam mana.
“Betul juga seperti yang Datuk Rafizi Ramli (Menteri Ekonomi) sebut, kepala lain badan lain dia wajah berbeza, mungkin ini dikira ketimbang juga,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, beliau diminta mengulas mengenai pemilihan jawatan timbalan presiden PKR yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nurul Izzah Anwar dan Rafizi.
Rafizi berdepan cabaran besar untuk mempertahankan jawatan itu, antaranya selepas ketua-ketua cabang di Terengganu, Melaka dan Kelantan turut menyuarakan sokongan kepada Nurul Izzah. – MalaysiaGazette