Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

PUTRAJAYA – PAS terkejut apabila Tan Sri Azam Baki dilantik semula sebagai Ketua Persuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buat kali ketiga.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mereka tidak menjangkakan perkara itu namun keputusan telah pun dibuat kerajaan.

“Saya jangka perkhidmatan beliau (Azam) tidak disambung, sebab dah beberapa kali disambung dan ini kali ketiganya. Sudah tentu apabila kita lihat perkhidmatan seseorang disambung sampai kali ketiga, (pasti) ada rasa pelik dan inilah yang ramai orang komen.

“(Selain itu) banyak pihak yang mempersoalkan bagaimana pendakwaan dibuat secara selektif. Sama seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang merupakan badan penyiasat, SPRM juga sama, mereka bukan badan kehakiman dan tidak boleh buat keputusan.

“Namun dalam banyak kes, apabila siasatan masih berlangsung, ia menunjukkan seolah-oleh pihak yang disiasat telah dijatuhkan hukuman dengan mempamerkan berapa duit dia (suspel) dan sebagainya sehingga mereka diserang media dan orang ramai.

“Sedangkan individu (suspek) berkenaan masih belum didakwa,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan badan penyiasat seperti SPRM dan PDRM tidak melangkaui had sempadan tugasan mereka dengan terus ‘menghukum’ individu yang sedang disiasat.

Ini kerana jelas beliau, kuasa untuk membuat keputusan bersalah atau tidak adalah hak badan kehakiman.

“(Tindakan) sebegini akan memberi kesan teruk kepada individu tersebut. Padahal dia belum dihadap ke mahkamah, belum ada pertuduhan pun. Berbeza dengan kes sudah dituduh dan dah jalan kemudian ditarik balik, itu lagi teruk,” ujarnya.

Pada masa sama, Tuan Ibrahim berharap kerajaan dapat menjadikan SPRM sebuah insititusi siasatan yang berwibawa, telus dan bebas rasuah.

“Bukan hanya siasat kes membabitkan pembangkang sahaja, kes-kes tertunggak pun perlu disiasat contohnya kes yang berlaku di Saba dan kes sebelum itu.

“Banyak kes lain dan bagaimana (perkembangan) kes-kes tersebut,” jelasnya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Beruntung lagi peminpin Pas/PN walaupun ada kes melibatkan wang/duit negara/rakyat tetapi masih boleh bergerak ke sana ke sini.
    Bagus juga pihak berkuasa memberitahu jumlah atau pamerkan rampasan daripada disembunyikan kerana rakyat berhak mengetahui .
    Negara luar pun membuat begitu juga?
    Adakah peminpin PAS/PN takut kepada kebenaran?

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here